KUANTAN: Pahang kini berada di landasan kukuh sebagai sebuah negeri makmur, progresif dan berdaya saing serta didorong pertumbuhan ekonomi yang stabil, peningkatan hasil serta pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan ini meletakkan Pahang dalam laluan untuk mencapai status berpendapatan tinggi, hasil kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang menjadi asas utama kepada perancangan pembangunan yang berkesan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila kutipan hasil kerajaan negeri berada pada tahap membanggakan dengan terus melepasi angka RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022 disebabkan tadbir urus dinamik, pengukuhan kutipan hasil, keberkesanan usaha mengawal ketirisan serta lonjakan ekonomi.
“Kejayaan ini turut selari dengan rekod Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang yang meningkat 23 peratus dalam tempoh 2019 hingga 2024 hasil daripada dasar pembangunan negeri yang strategik dan mampan.
“Tahun lalu, Pahang mencatat pertumbuhan KDNK 5.7 peratus melepasi paras nasional 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian,” ujarnya.
Wan Rosdy berkata, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) turut memainkan peranan penting menyumbang RM3.16 bilion atau 4.6 peratus kepada KDNK Pahang tahun lalu melalui sembilan syarikat induk dan Badan Berkanun Negeri serta 49 anak syarikat yang berperanan sebagai pemacu ekonomi strategik negeri termasuk sebahagiannya ditubuhkan sejak 2018.
Menurutnya, kenaikan KDNK ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kemasukan pelabur yang konsisten serta peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Dalam aspek pelaburan, Pahang terus menjadi destinasi pilihan yang mana sehingga November tahun ini, jumlah pelaburan komited yang masuk adalah sebanyak RM18.04 bilion melebihi sasaran RM14.09 bilion, membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri mengurus kestabilan politik dan iklim perniagaan yang kondusif.
“Dalam aspek tenaga buruh, jumlah guna tenaga di Pahang meningkat kepada 788,800 orang pada suku ketiga tahun ini berbanding 768,600 orang pada 2024. Kadar pengangguran pula menurun daripada 16,700 orang atau 2.2 peratus pada 2024 kepada 13,800 orang atau 1.7 peratus pada suku ketiga tahun ini, hasil limpahan peluang pekerjaan melalui pelaburan yang rancak serta pembangunan ekonomi berterusan,” ujarnya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri sekali lagi menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan 2024 yang merupakan bukti jelas kerajaan negeri mengamalkan tadbir urus kewangan yang cekap, telus dan berintegriti. – UTUSAN










