LOS ANGELES: Amaran banjir kilat dikeluarkan di Los Angeles dan sebahagian besar selatan California pada Rabu, susulan ribut Krismas yang kuat membawa hujan lebat, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh.
Ribut yang didorong oleh aliran atmosfera dikenali sebagai Pineapple Express itu, membawa kelembapan dari iklim tropika Hawaii ke Pantai Barat Amerika Syarikat (AS) dan dijangka menurunkan jumlah hujan bersamaan berbulan-bulan dalam beberapa hari akan datang.
Gabenor California, Gavin Newsom, mengisytiharkan darurat di beberapa daerah, termasuk Los Angeles bagi membolehkan tindakan pantas dan pengagihan sumber kecemasan.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran banjir kilat yang mengancam nyawa dijangka berterusan hingga Khamis, selain salji tebal di kawasan pergunungan dan angin kencang.
Hujan lebat pertama melanda pada malam Selasa, menyebabkan pokok tumbang, beberapa serpihan di jalan raya serta banjir kecil yang menjejaskan trafik di kawasan Los Angeles.
Hujan semakin lebat pada awal Rabu menyebabkan ribuan penduduk di selatan California terputus bekalan elektrik akibat gangguan yang disebabkan ribut Krismas di wilayah itu.
Menurut laman pemantauan, Poweroutage.us, kira-kira 101,000 rumah dan premis perniagaan di seluruh California dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.
Peramal cuaca berkata, beberapa komuniti berpotensi menerima sehingga 25.4 sentimeter hujan sepanjang minggu ini.
Kawasan pantai Pacific Palisades dan Malibu diletakkan di bawah amaran khas kerana masih dalam proses pemulihan selepas kebakaran hutan besar pada Januari lalu.
Kerosakan akibat kebakaran menjadikan kawasan itu berisiko tinggi mengalami tanah runtuh susulan hujan lebat.
Palang Merah membuka pusat perlindungan di beberapa komuniti selepas sebahagian penduduk selatan California menerima arahan pemindahan segera.
Pihak berkuasa turut menangani beberapa kemalangan pada Rabu, manakala beberapa lebuh raya utama ditutup berikutan amaran banjir kilat, sekali gus memburukkan kesesakan trafik sedia ada.- AFP










