JERANTUT: Program Briskwalk Rakan Muda Aktif Masjid di pekarangan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Bandar Pusat Jengka, kelmarin berjaya menarik penyertaan kira-kira 600 anak muda mendekati dan mengimarahkan masjid melalui aktiviti riadah santai yang digabungkan dengan pengisian rohani.
Pengerusi penganjur program, Razak Daud berkata, acara tersebut bukan sahaja memberikan peluang golongan belia meningkatkan tahap kesihatan fizikal masing-masing, malah turut menekankan kepentingan menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang mesra belia.
“Sebelum briskwalk, program dimulakan dengan ‘Subuh Warriors’ di masjid berkenaan sebelum peserta menerima pek sarapan disediakan.
“Selain mempromosikan gaya hidup sihat, acara ini juga bertujuan mengajak golongan muda mendekati program di masjid. Sebab itu tajuk program kita, Rakan Muda Aktif Masjid dan ia adalah bersesuaian dengan pengisian sepanjang program berlangsung,” katanya di sini.
Program briskwalk itu dibahagikan kepada dua kategori iaitju 4.6 kilometer (km) bagi penyertaan biasa dan 2.2 km bagi peserta warga emas.
Dianjurkan Pejabat Agama Islam Daerah Jengka, program julung kali tersebut turut mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan, Kejiranan Rukun Tetangga kawasan, Kami Anak Felda dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Razak yang juga Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka berkata, pada awalnya, hanya 800 peserta disasarkan bagi program berkenaan, namun jumlah pendaftaran diterima melebihi 1,000 orang daripada 37 masjid Wilayah Jengka.
“Kami terpaksa menutup pendaftaran selepas menerima permohonan ke 1,200 daripada peserta. Memang luar jangkaan dan kami bersyukur kerana program ini mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk sekitar,” katanya.
Menurutnya, pihaknya merancang untuk menganjurkan program seumpama itu pada masa akan datang selepas menyaksikan sambutan diterima daripada peserta.
“Insya-Allah… boleh diadakan lagi selepas ini dan kita harap program ini mencetus semangat semua pihak supaya dapat bersama-sama memakmurkan masjid serta menjalani gaya hidup sihat bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN










