Bayi 14 bulan derita ketumbuhan

Bayi 14 bulan derita ketumbuhan

MOHD. Fauzi Saad dan Anis Azwanie Azmi bersama Firas Affan yang disahkan menghidap penyakit germ cell tumor ketika ditemui di rumah mereka di Bandar Lahat Baru, Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada impian yang lebih besar bagi seorang bapa selain melihat bayinya yang baru berusia 14 bulan kembali sihat selepas disahkan menghidap ‘germ cell tumor’ di bahagian belakang mata.

Mohd. Fauzi Saad, 43, berkata, anak lelakinya itu, Firas Affan dikesan menghidap penyakit berkenaan pada Oktober lalu.

Katanya, ketika itu, mata kanan anak bongsu daripada empat beradik itu seolah-olah terjojol dengan bengkak luar biasa pada wajah sebelah kanan.

“Ketika itu, Firas kerap menangis mungkin kerana dia berasa tidak selesa. Disebabkan bimbang keadaannya, kami segera bawa ke hospital untuk rawatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan Firas menghidap germ cell tumor di mana ketumbuhan itu bermula dari belakang bebola mata,” katanya ditemui di kediamannya di Bandar Lahat Baru, di sini semalam.

Menurut Mohd. Fauzi, melihat wajah anaknya membengkak serta terdapat ketumbuhan yang keluar dari hidung, merupakan detik paling sukar yang pernah dihadapinya sehingga hampir mematahkan semangatnya sebagai seorang bapa.

Bagaimanapun katanya, ketumbuhan itu ‘jatuh’ dengan sendirinya selepas Firas menjalani dua kitaran kemoterapi selain bengkak pada muka turut surut.

“Apabila melihat wajahnya ketika mula dikesan menghidap penyakit itu, saya benar-benar hilang semangat. Ketika itu, seolah-olah tiada harapan kerana wajahnya teruk, matanya langsung tidak dapat dibuka dan kemerahan seperti hampir pecah.

“Alhamdulillah, selepas menjalani kemoterapi, keadaan Firas semakin positif dan doktor juga terkejut melihat keadaannya yang semakin baik. Sebagai bapa, saya harap anak dapat pulih seperti biasa, lihat keadaannya sekarang pun saya dah lega,” katanya.

Mohd. Fauzi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, faktor kekangan kewangan menjadi cabaran buatnya susulan terpaksa mengambil cuti bagi menghantar Firas menjalani rawatan.

Ini kerana, hanya dia penanggung tunggal keluarga manakala isterinya, Anis Azwanie Azmi, 29, seorang suri rumah.

“Pendapatan saya sekitar RM2,000 sebulan, jika banyak sangat ambil cuti, gaji akan ditolak. Sejak Firas sakit pun, memang banyak cuti yang diambil bagi menyelesaikan urusan hospital.

“Tapi mujurlah ada bantuan daripada keluarga dan kawan-kawan yang prihatin menghulurkan sumbangan. Setakat ini, saya masih mampu tampung lagi perbelanjaan namun jika ada yang sudi membantu, saya amat menghargainya,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Fauzi di talian 011-11983431. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN