KUALA LUMPUR: Bas pelancong dari Singapura dibenarkan memasuki Malaysia tetapi tidak dibenarkan beroperasi sebagai bas ekspres.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketetapan itu selaras dengan amalan timbal balik di mana bas pelancong Malaysia dibenarkan beroperasi di Singapura, manakala bas pelancong Singapura pula boleh membawa pelancong di Malaysia.
“Bas pelancong membawa masuk pelawat dan ini memberi manfaat kepada Malaysia, sebab itu kita tidak menghalang mereka,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) berhubung pemeriksaan keselamatan ke atas bas Singapura.
Bagaimanapun, Loke berkata, jika bas pelancong Singapura menjual tiket perjalanan berjadual dan beroperasi seperti bas ekspres, tindakan akan diambil kerana ia melanggar peraturan.
Katanya, Singapura sebelum ini pernah memohon agar Malaysia membenarkan bas ekspres mereka beroperasi di negara ini sebagai timbal balik.
“Namun Singapura sendiri tidak mempunyai kategori undang-undang untuk bas ekspres. Sistem mereka hanya mengiktiraf bas pelancong dan bas berjadual.
“Sebab itu pendirian kita kekal di mana kita tidak akan benarkan perkhidmatan bas ekspres dari Singapura,” katanya. – UTUSAN










