Bantuan guaman percuma YBGK diperluaskan di Mahkamah Syariah Pahang - Utusan Malaysia

Bantuan guaman percuma YBGK diperluaskan di Mahkamah Syariah Pahang

PGSM Pahang dengan kerjasama YBGK mengadakan taklimat berhubung peluasan perkhidmatan Bantuan Guaman Percuma bagi kes jenayah syariah di negeri Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Usaha memperkukuh akses keadilan di negeri ini melangkah setapak ke hadapan apabila Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pahang (PGSM Pahang) dengan kerjasama Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memperluaskan perkhidmatan Bantuan Guaman Percuma ke Mahkamah Syariah.

Langkah ini memberi peluang kepada golongan yang berdepan kes jenayah syariah untuk mendapatkan khidmat guaman tanpa beban kos, sekali gus memastikan hak mereka terbela.

Timbalan Pengerusi PGSM Pahang, Abdullah Hakim Ahmad berkata, perluasan Bantuan Guaman Percuma YBGK ke Mahkamah Syariah adalah langkah positif yang memastikan semua golongan masyarakat, bukan sahaja melibatkan kes jenayah di Mahkamah Sivil tetapi juga dalam kes jenayah syariah, mendapat pembelaan sewajarnya.

“PGSM Pahang turut dipertanggungjawabkan sebagai Sekretariat Bantuan Guaman Percuma YBGK bagi Negeri Pahang. Sehubungan itu, dijangka seramai 50 peguam syarie akan mengikuti kursus sebagai peguam panel YBGK dan mula memberikan khidmat seawal tahun 2026.

“PGSM Pahang yakin bahawa inisiatif ini akan memperkukuh sistem keadilan syariah di negeri ini serta memberi manfaat besar kepada masyarakat yang memerlukan bantuan guaman percuma,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, PGSM Pahang dengan kerjasama YBGK mengadakan taklimat berhubung peluasan perkhidmatan Bantuan Guaman Percuma bagi kes jenayah syariah di negeri Pahang.

Taklimat dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan, sekali gus memperlihatkan sokongan penuh Jabatan Kehakiman Syariah Pahang terhadap usaha memperkukuh akses masyarakat kepada keadilan di Mahkamah Syariah.

Sesi taklimat Pegawai Eksekutif YGBK, Nurakmal Farhan Aziz yang menghuraikan peranan serta skop perkhidmatan yayasan tersebut dalam menyediakan bantuan guaman bagi semua kategori kesalahan jenayah syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN