VIENNA: Ahli Parlimen Austria dijangka meluluskan undang-undang pada Khamis yang mengharamkan pemakaian tudung di sekolah bagi pelajar perempuan bawah umur 14 tahun.
Langkah itu menurut kumpulan hak asasi dan pakar bersifat diskriminasi serta berpotensi mewujudkan perpecahan dalam masyarakat.
Kerajaan pimpinan konservatif Austria, yang berada di bawah tekanan ketika sentimen anti imigresen semakin meningkat, mencadangkan larangan itu awal tahun ini, kononnya untuk melindingi kanak-kanak daripada ‘penindasan’.
Pada 2019, apabila negara itu memperkenalkan larangan pemakaian tudung di sekolah rendah, mahkamah perlembagaan menolaknya kerana dianggap menyalahi Perlembagaan dan bersifat diskriminasi.
Bagaimanapun, kerajaan kali ini menegaskan undang-undang yang dicadangkan adalah sah mengikut Perlembagaan.
Jika diluluskan, undang-undang itu akan menghalang kanak-kanak perempuan di bawah 14 tahun daripada memakai tudung yang ‘menutup kepala mengikut tuntutan Islam’ di semua sekolah.
“Apabila seorang gadis… diberitahu bahawa dia mesti menutup tubuhnya… untuk melindungi dirinya daripada pandangan lelaki, itu bukan ritual agama, tetapi penindasan,” kata Menteri Integrasi, Claudia Plakolm, ketika membentang rang undang-undang tersebut.
Larangan itu, yang melibatkan ‘semua jenis’ penutup kepala termasuk hijab dan burqa, akan berkuat kuasa sepenuhnya pada permulaan tahun persekolahan baharu pada September, kata Plakolm.
Mulai Februari, satu tempoh permulaan akan dijalankan di mana peraturan baharu itu akan diterangkan kepada guru, ibu bapa dan pelajar tanpa sebarang tindakan penalti jika dilanggar.
Namun, bagi kesalahan berulang, ibu bapa boleh dikenakan denda antara 150 hingga 800 euro (RM718 hingga RM3,819).
Kerajaan berkata, kira-kira 12,000 kanak-kanak perempuan akan terkesan dengan undang-undang baharu itu, berdasarkan kajian pada 2019 yang menunjukkan kira-kira 3,000 kanak-kanak perempuan di bawah umur 14 tahun memakai tudung enam tahun lalu.- AFP










