PERTH: Australia Barat bergelut dengan beberapa kebakaran belukar yang dianggap berada di tahap kecemasan, di tengah sistem komunikasi mengalami gangguan.
Menurut laporan Australian Broadcasting Corporation, beberapa kebakaran hutan di Australia Barat di kini berada pada tahap kecemasan, mengancam nyawa dan harta benda.
Ketika lima kebakaran berada pada tahap membimbangkan pada Isnin, laman web kecemasan negeri terpaksa ditutup sementara akibat isu pemprosesan data, kata Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan (DFES) dalam satu kenyataan.
Kira-kira 250 anggota bomba berusaha memadam kebakaran di Midwest, berhampiran Warradarge dan Mogumber, manakala amaran lain dikeluarkan di Boonanarring, Cullalla, serta sebahagian kawasan Chittering dan Bindoon.
Beberapa pusat pemindahan disediakan, termasuk di Gingin dan Mandurah.
Menjelang pukul 8 malam, sembilan kebakaran berada pada tahap pengawasan, mendorong nasihat pemindahan dan persiapan.
Menurut Penolong Pesuruhjaya DFES, Paul Carr, kebakaran di Nambeelup dan Chittering dipercayai disebabkan kilat.
Kebakaran di Warradarge membakar lebih 7,000 hektar tanah, menyebabkan sebahagian Jalan Raya Brand ditutup, manakala amaran terdahulu bagi Brigadoon dan Gidgegannup diturunkan tahapnya.
Satu kebakaran di Chittering, dipercayai perbuatan sengaja, diturunkan tahap amaran kepada peringkat nasihat apabila anggota bomba berusaha mengawalnya, menurut pengawal insiden DFES, Murray McBride.
Kebakaran berlaku ketika gangguan bekalan elektrik meluas akibat ribut yang bermula pada Sabtu, menjejaskan sehingga 115,000 premis.- ANADOLU










