WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kini memberi keutamaan kepada hubungan perdagangan yang stabil dengan China, meskipun beberapa sekutu menggesa tindakan bersepadu terhadap Beijing.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, Presiden Donald Trump berpeluang menggunakan semua pengaruh terhadap China termasuk dalam sektor perisian dan semikonduktor, namun pentadbiran memilih untuk mengekalkan kestabilan hubungan ketika ini.
“Tiada siapa mahukan konflik ekonomi besar-besaran dengan China, dan itu bukan yang sedang berlaku.
“Ramai sekutu berminat mengambil tindakan bersama, tetapi keputusan kami pada masa ini ialah memastikan hubungan ini kekal stabil,” katanya pada Sidang Kemuncak Pertumbuhan Amerika di Washington, kelmarin.
Greer berkata, defisit perdagangan AS dengan China menurut sekitar 25 peratus sejak Trump mengambil alih pentadbiran, perkembangan yang disifatkan sebagai langkah positif dalam usaha mengimbangi aliran dagangan.
Pada masa sama, beliau mengakui produk China masih memasuki pasaran AS, termasuk melalui penghantaran semula menerusi negara lain.
“Buat masa ini, kami mahu memastikan China membeli barangan yang sepatutnya dijual oleh kami kepada mereka, pesawat, bahan kimia, peranti perubatan dan produk pertanian.
“Dan kami pula boleh membeli barangan daripada mereka yang tidak sensitif,” katanya.
Trump dan Presiden China, Xi Jinping mencapai satu persetujuan pada akhir Oktober yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan gencatan tarif, menarik balik sebahagian kawalan eksport serta mengurangkan halangan perdagangan yang lain.
Namun, beberapa elemen utama dalam perjanjian itu, termasuk penjualan operasi aplikasi video sosial TikTok di AS, pembelian kacang soya yang diperluas dan peningkatan lesen untuk mengeksport nadir bumi kritikal dari China, masih dalam proses dimuktamadkan.
Greer berkata, AS sedang memantau hubungan itu secara literal setiap hari.
“Kita perlu memperkukuh kedudukan sendiri terlebih dahulu. Kita mesti memastikan AS berada di landasan yang baik untuk perindustrian semula, termasuk dalam mineral kritikal,” katanya.– BLOOMBERG










