CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan rundingan dengan ketua-ketua parti dalam kerajaan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan kekosongan jawatan menteri di dalam Kabinet.
Menurutnya, beliau perlu mendapatkan pandangan mereka (ketua-ketua parti dalam kerajaan) sebelum keputusan itu dibuat.
“Saya akui Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif namun pendekatan demokrasi akan diambil dalam menentukan keputusan itu.
“Ada beberapa kekosongan jawatan menteri jadi, biar saya runding dahulu. Betul, ada budi bicara atau wewenang Perdana Menteri sebelum memohon mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Namun, dalam proses demokrasi dan menghormati pandangan kawan-kawan, saya tentunya akan mendengar beberapa pandangan dari ketua-ketua parti,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, di sini hari ini.
Katanya, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di masjid berkenaan sekitar pukul 1.05 tengah hari sebelum disambut Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Mohamad Nazri Sobirin.
Anwar kemudian bersama 1,500 jemaah turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Kesejahteraan Ummah Di Bawah Naungan Sultan Berdaulat’ sebelum menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Ustaz Hafizul Hakimi Harun. – UTUSAN










