TANAH MERAH: Hasrat seorang pelajar doktor falsafah (PhD) untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan umrah pada tahun depan tidak kesampaian.
Pelajar itu, Muhammad Amidee Abdullah, 25, maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas dalam sebuah tasik di Universiti MalaysianKelantan (UMK) Kampus Jeli dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia meninggal dunia akibat lemas di dalam tasik tersebut manakala rakannya pula sempat menyelamatkan diri.
Ibu mangsa, Saidah Sulaiman, 51, berkata, Muhammad Amidee yang melanjutkan pengajian PhD Mineralogi di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK ingin membawanya Bersama suami menunaikan umrah selepas anaknya itu tamat pengajian pada tahun depan.
“Arwah merupakan anak yang baik dan pintar. Disebabkan itu, dia boleh melanjutkan pengajian ke peringkat PhD secara fast track selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda di UMK.
“Selain berhasrat hantar saya dan suami, Abdullah Mokhtar, 59, menunaikan umrah, arwah juga berhasrat untuk baiki rumah kami sebaik tamat pengajian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pondok Hidayah, di sini semalam.
Saidah berkata, sebelum keluar dari rumah untuk ke UMK Jeli pagi kelmarin, arwah yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu sempat mencium dan bersalam dengannya.
Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira pukul 6.50 petang yang memaklumkan kemalangan menimpa Muhammad Amidee.
“Saya hampir pitam menerima berita itu. Saya dan suami segera ke lokasi kejadian sebelum turut bergegas ke Hospital Jeli.
“Arwah sering mengurut badan saya semasa di rumah. Banyak kenangan kami bersama, namun saya perlu reda dengan ujian ini,” katanya.-UTUSAN.










