Ambil tindakan syarikat telco gagal gagal selesai gangguan telekomunikasi di Kampung Salang - Utusan Malaysia

Ambil tindakan syarikat telco gagal gagal selesai gangguan telekomunikasi di Kampung Salang

FADZLI MOHAMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Menteri Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap syarikat telekomunikasi (telco) yang didapati gagal menyelesaikan masalah gangguan perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman sejak 17 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, tindakan itu penting bagi memastikan semua syarikat telco lebih bertanggungjawab dan serius dalam menangani isu gangguan perkhidmatan telekomunikasi, termasuk di Pulau Tioman serta menyelesaikan segera segala permasalahan yang turut dihadapi oleh rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kepentingan dan kebajikan rakyat tidak wajar dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan akses komunikasi asas yang menjadi keperluan utama dalam aspek keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.

“Berhubung perkara ini, saya turut menerima aduan daripada pemimpin setempat yang menyatakan kekecewaan, kerana sehingga kini pihak telco masih gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan semula perkhidmatan selular di Kampung Salang.

“Apa yang lebih membimbangkan, cuaca yang tidak menentu pada ketika ini yang sedang melanda beberapa daerah di Pahang termasuk di Rompin, berpotensi memburukkan lagi keadaan, apatah lagi baru-baru ini beberapa lokasi di Pulau Tioman turut dilanda banjir.

“Saya berasa kesal kerana pihak telco tidak mengambil tindakan pemulihan dan pembaikan dengan kadar segera sebaik sahaja berlakunya gangguan perkhidmatan selular ini,” katanya.

Menurutnya, ia jelas membuktikan bahawa pihak telco tidak serius, sekali gus menunjukkan kegagalan mereka untuk mengotakan janji bagi menyelesaikan sebarang isu gangguan perkhidmatan dengan kadar segera.

“Ia seperti mana dipersetujui semasa Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Telekomunikasi, Pos Dan Kurier Negeri Pahang pada 8 September lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN