KUANTAN: Akhlak yang baik dalam kalangan murid dan pelajar sekolah merupakan asas utama dalam membentuk masa depan negara.
Penasihat Koperat Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia Pahang merangkap Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers Pahang, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pendidikan yang mantap perlu digandingkan dengan pembinaan akhlak agar generasi muda bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai moral yang tinggi.
“Ilmu tanpa akhlak akan pincang, manakala akhlak tanpa ilmu pula tidak akan membawa kemajuan.
“Cabaran dunia moden menuntut pelajar untuk lebih berdisiplin, berhemah dan berintegriti. Justeru, usaha mendidik akhlak perlu bermula sejak di bangku sekolah agar mereka mampu menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara,” katanya pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sekilau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, akhlak yang baik akan menjadi benteng kepada gejala sosial yang semakin membimbangkan ketika ini.
“Murid yang berakhlak mulia tidak mudah terjebak dengan budaya negatif kerana mereka memiliki prinsip dan pegangan hidup yang kukuh,” katanya.
Beliau dalam pada itu berharap semua pihak berganding bahu dalam memastikan pendidikan dan akhlak berjalan seiring.
“Masa depan negara bergantung kepada generasi muda. Jika akhlak mereka terpelihara, insya-Allah Malaysia akan terus maju dan sejahtera,” katanya.
Pada majlis itu, Zuhairi turut menyampaikan sumbangan kepada 25 murid kurang berkemampuan di sekolah tersebut. – UTUSAN










