WASHINGTON: Kebimbangan terhadap gangguan perjalanan selama beberapa hari di Eropah dan seluruh dunia reda selepas pengeluar pesawat Airbus bertindak pantas melaksanakan naik taraf perisian terhadap kira-kira 6,000 pesawat A320 keluarannya.
Jumaat lalu, pengeluar terkemuka Eropah memberi amaran pesawat-pesawat berkenaan tidak boleh terbang semula sehingga perubahan perisian dibuat, susulan insiden pesawat JetBlue yang menjunam secara tiba-tiba di Amerika Syarikat (AS) pada Oktober lalu.
Airbus pada Jumaat mengarahkan pelanggannya mengambil langkah berjaga-jaga segera selepas mengenal pasti kerosakan teknikal yang berlaku dalam pesawat berkenaan.
Menurut syarikat itu, laporan teknikal mendedahkan sinaran suria yang kuat berpotensi merosakkan data penting dalam sistem kawalan penerbangan, menegaskan sebilangan besar pesawat model A320 yang kini beroperasi berpotensi terjejas.
Perisian yang bermasalah, dikenali sebagai Elevator and Aileron Computer (ELAC), dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa dan pertahanan, Thales.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengeluarkan arahan supaya semua pengendali A320 mengambil tindakan segera bagi membetulkan isu tersebut.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan ratusan pesawat mungkin perlu digantung operasi untuk tempoh yang panjang.
Namun, beberapa syarikat penerbangan utama Eropah berkata, gangguan itu sangat minimum, dengan hanya sedikit pembatalan penerbangan walaupun keadaan dilaporkan lebih mencabar di Amerika Latin dan Asia.
Di India, kementerian penerbangan memaklumkan, 68 pesawat masih memerlukan naik taraf, mewakili kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan armada negara yang terjejas.
Syarikat Colombia Avianca berkata, 70 peratus armadanya terkesan dan memberi amaran akan berlakunya gangguan ketara dalam tempoh 10 hari akan datang, sambil menggantung jualan tiket sehingga 8 Disember.
Di Filipina, syarikat penerbangan Philippine Airlines dan Cebu Pacific menawarkan bayaran balik atau penjadualan semula selepas menangguhkan sekurang-kurangnya 40 penerbangan domestik pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury mengakui pembaikan tersebut menimbulkan cabaran logistik besar dan kelewatan.
Namun katanya, para pengendali sedang bekerja sepanjang masa bagi memastikan naik taraf itu dilaksanakan secepat mungkin supaya semua pesawat dapat kembali beroperasi.
“Saya ingin memohon maaf kepada pelanggan syarikat penerbangan dan para penumpang yang terjejas. Tetapi bagi kami, keselamatan adalah segalanya,” tulisnya di LinkedIn.
KEADAAN TERKAWAL
Menteri Pengangkutan Perancis, Philippe Tabarot memberitahu saluran BFMTV, Airbus sudah berjaya membaiki masalah tersebut pada lebih 5,000 pesawat pada Jumaat dan sehingga Sabtu.
Beliau berkata, jumlah pesawat yang memerlukan kerja pembaikan lebih panjang mungkin jauh lebih rendah daripada jangkaan 1,000 pesawat yang dibimbangi sebelum ini.
“Menurut maklumat terkini nampaknya jumlah A320 yang akan terjejas untuk tempoh lebih lama akibat perubahan perisian ini jauh lebih rendah.
“Kita sebelum ini menjangka sehingga 1,000 pesawat. Kini nampaknya angka itu sekitar 100 sahaja,” katanya.
Dikeluarkan sejak 1988, A320 merupakan pesawat penumpang paling laris di dunia. Sehingga akhir September, Airbus sudah menjual 12,257 buah A320, mengatasi jualan 12,254 pesawat Boeing 737.
Air France memaklumkan mampu membawa semua penumpang pada Sabtu kecuali penerbangan dalam rangkaian serantau Caribbean. Air France membatalkan 35 penerbangan pada Jumaat.
Syarikat Jerman Lufthansa pula berkata, bagi kesemua syarikat di bawah kumpulannya, kebanyakan naik taraf perisian selesai pada malam Jumaat dan pagi Sabtu, dengan tiada pembatalan dijangka, tetapi berlaku kelewatan terpencil.
Syarikat tambang murah EasyJet pula memaklumkan tidak membatalkan sebarang penerbangan kerana semua kerja naik taraf pada pesawat A320 miliknya sudah selesai.
INSIDEN JETBLUE
Menteri Ekonomi Perancis, Roland Lescure turut memberitahu BFMTV, bagi sebahagian besar pesawat tersebut, naik taraf perisian boleh dilakukan secara jarak jauh dan prosesnya agak pantas.
Pada 30 Oktober, sebuah pesawat A320 yang dikendalikan JetBlue mengalami masalah kawalan ketika dalam penerbangan akibat kerosakan komputer.
Pesawat itu secara tiba-tiba menjunam ketika dalam perjalanan dari Cancun, Mexico ke Newark, AS, memaksa juruterbang mendarat cemas di Tampa, Florida.
Media AS memetik anggota bomba tempatan melaporkan, beberapa penumpang cedera.
Syarikat tambang murah itu berkata, pada Sabtu, pihaknya sedang melakukan segala usaha untuk mengelakkan gangguan kepada penumpang.
Walaupun dalam tempoh cuti Thanksgiving yang sibuk, kesan gangguan di AS dilihat masih terhad kerana kebanyakan syarikat penerbangan utama di negara itu banyak menggunakan pesawat Boeing berbanding Airbus.
United Airlines berkata, operasinya pada Sabtu berjalan seperti biasa, manakala American Airlines hanya menggantung empat pesawatnya.- AFP










