PETALING JAYA: Mangsa banjir daripada 5,519 keluarga ditempatkan di 66 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 6.30 petang semalam di lima negeri.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri terbabit ialah Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Sarawak.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 5,011 orang, diikuti Johor (303), dan Terengganu (140).
Keadaan banjir di Sabah sudah pulih sepenuhnya selepas PPS di Dewan Mini Mesapol, Sipitang yang menempatkan 44 mangsa daripada 16 keluarga, ditutup tengah hari semalam.
Perkara itu dimaklumkan Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A. M Zahari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
“Hasil pemantauan mendapati air telah surut sepenuhnya, dan cuaca semasa adalah baik (tidak hujan). Tiada laluan yang ditutup kepada kenderaan pada masa ini,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kelmarin, memaklumkan beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing dikategorikan dalam Tahap Buruk susulan amaran hujan berterusan sehingga esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, keadaan berkenaan berisiko mengakibatkan banjir besar, banjir kilat, peningkatan mendadak paras sungai serta gangguan terhadap laluan utama dan operasi lapangan.
Dalam perkembangan berkaitan, dua sungai masing-masing di Pahang dan Sarawak dilaporkan melepasi tahap bahaya susulan hujan lebat berterusan.
Setakat pukul 6.30 pagi semalam, Sungai Belat di Sri Damai (F2), Kuantan merekodkan paras 1.36 meter melebihi tahap bahaya, manakala Sungai Mentiga di Jambatan Chini (F1), Pekan meningkat 0.4 meter melepasi paras berkenaan.
Kedua-dua sungai itu tidak menunjukkan sebarang perubahan trend peningkatan setakat pukul 5.30 petang.
Di Sarawak, paras air di stesen Long Teru, Miri meningkat 0.3 meter melepasi tahap bahaya dengan trend kekal, manakala stesen Marudi, Miri melepasi paras bahaya sebanyak 0.13 meter dengan trend menurun.
Selain itu, beberapa sungai di Pahang turut melepasi tahap amaran antaranya Sungai Kenau di Sungai Rimau (F2), Kuantan; Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan (N), Kuantan; Jambatan Chegar Perah (F1), Lipis; serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (F1), Kuantan.
Sungai lain yang turut merekodkan paras melepasi tahap amaran ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut, Terengganu; Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, Johor; Sungai Kelantan di Kuala Krai (F1), Kuala Krai, Kelantan; Sebatan, Betong, Sarawak; Sungai Siput di Kampung Sungai Siput (F2), Alor Gajah, Melaka; Sungai Slim di Slim River, Muallim, Perak; serta Sungai Gemas di Kampung Tiong (F2), Tampin, Negeri Sembilan. – UTUSAN










