KUALA LUMPUR: Sebanyak 60.7 peratus kanak-kanak di Malaysia atau kira-kira 5.4 juta orang memiliki peranti mereka sendiri manakala lebih 55.7 peratus menggunakan internet antara satu hingga empat jam sehari pada tahun lalu.
Berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan, Malaysia mempunyai 9.03 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun iaitu 26.4 peratus daripada jumlah penduduk negara ini setakat November 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin berkata, penggunaan internet berlebihan dalam kalangan kanak-kanak membawa beberapa gejala membimbangkan termasuk gangguan permainan internet (IGD), gangguan kebimbangan sosial (SAD), masalah kesihatan mental serta ketagihan dan kesalahan seksual.
“Satu kajian mendapati antara 5,290 remaja di tujuh negeri di Malaysia, sebanyak 3.5 peratus didiagnosis mengalami IGD.
“Jika kita menggunakan peratusan yang sama terhadap populasi kanak-kanak di Malaysia, kita boleh menjangkakan terdapat 315,000 kanak-kanak mengalami masalah tersebut,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, IGD ditakrifkan sebagai bermain permainan yang berterusan dan berulang sehingga mengakibatkan kemerosotan yang ketara. IGD dikait rapat dengan kecenderungan impulsif terutama impulsif motor dan daya tumpuan yang singkat.
“Dari segi impak kesihatan mental, daripada remaja yang mengalami IGD, 48.1 peratus mengalami kebimbangan serius, 37.4 peratus mengalami kemurungan serius dan 18.2 peratus mengalami tekanan serius.
“IGD juga dikaitkan secara signifikan dengan SAD iaitu kebimbangan sosial dan pengelakkan interaksi sosial. IGD dan SAD secara keseluruhannya akan menjejaskan pembangunan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan berkaitan Penyata Jawatankuasa Berhubung Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-kanak
Bee Yin berkata, hampir separuh kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
Katanya, daripada keseluruhan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak, sebanyak 68.1 peratus adalah kes suka sama suka di mana kedua-dua pihak berumur 16 tahun ke bawah dan bersetuju mengadakan hubungan seks.
“Jawatankuasa juga mendapati hampir 90 peratus daripada remaja yang melakukan hubungan seksual berulang kali berpunca daripada pendedahan awal kepada pornografi, media sosial dan bahan lucah digital.
“Sebanyak 30 peratus kes kesalahan seksual kanak-kanak yang ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Akhlak berpunca daripada tiada kawalan terhadap penggunaan gajet,” jelasnya. – UTUSAN










