KUANTAN: Seramai 2,027 mangsa banjir daripada 626 keluarga dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah terjejas di Pahang setakat pukul 8 pagi hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang,Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 13 PPS dibuka, melibatkan 607 keluarga dan 1,953 penduduk terjejas.
Sementara itu, di Maran, dua PPS menempatkan 19 keluarga dengan 74 mangsa.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Sekretariat turut memaklumkan bahawa pemantauan rapi sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan keselamatan diri. – UTUSAN










