13.9 juta rakyat nikmati RON95

13.9 juta rakyat nikmati RON95

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 13.9 juta rakyat kini menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mula dilancarkan pada 30 September lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, 84 peratus daripada 16.5 juta orang layak untuk memperoleh petrol dengan kadar yang lebih murah melalui BUDI95 sehingga 30 November lalu.

Menurut beliau, BUDI95 merekodkan nilai jualan sebanyak RM5.16 bilion atau penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter dalam tempoh sama.

“Kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun tertakluk kepada harga minyak dunia dan berdasarkan data survei penggunaan domestik sebelum pelaksanaan BUDI95.

“Julat penjimatan tersebut mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global, iaitu antara AS$60 hingga AS$80 setong serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen yang tidak disasarkan seperti bukan warganegara dan pengguna komersial,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengenai penjimatan fiskal yang telah dicapai oleh kerajaan hasil pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 selepas sebulan program ini dilancarkan.

Sementara itu, Hui Ying berkata, jumlah penjimatan tahunan hanya akan dapat nilai mulai 2026 memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi itu baru bermula pada dua bulan lalu.

“Bagi 2025, tumpuan akan terus diberikan kepada pemantauan serta penambahbaikan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan sistem BUDI95 kekal stabil dan mesra pengguna untuk rakyat di samping membantu menangani ketirisan subsidi,” jelasnya.

Tambahnya, penjimatan yang dicapai melalui pelaksanaan penyasaran pelbagai subsidi termasuk BUDI95 telah membuka ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.

“Ruang fiskal tersebut turut memperkukuh keupayaan kerajaan dalam membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di seluruh negara.

“Secara kesimpulannya, penjimatan dana negara melalui penyasaran subsidi membolehkan kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana bagi agenda kebajikan, bantuan menangani kos sara hidup, pendidikan, kesihatan serta pelaburan bagi menyediakan prasarana rakyat yang berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×