SAO PAULO: Lebih 1.4 juta penduduk Sao Paulo terputus bekalan elektrik pada Khamis selepas angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang ke atas rangkaian elektrik metropolis Brazil itu sehari sebelumnya.
Pihak berkuasa tempatan berkata, tiada kecederaan dilaporkan, tetapi hampir 400 penerbangan dibatalkan.
Syarikat utiliti, Enel, tidak memberikan tarikh akhir untuk pemulihan perkhidmatan.
Seorang pengarahnya, Marcelo Puertas, memberitahu pemberita syarikat Itali itu menugaskan 1,300 pekerja untuk menyelesaikan masalah tersebut sejak angin sekitar 100 kilometer sejam mula melanda Sao Paulo.
Dewan bandar Sao Paulo berkata, 231 pokok tumbang akibat kesan siklon ekstratropika yang terbentuk di selatan Brazil.
Pihak berkuasa penerbangan memaklumkan, sebahagian besar penerbangan yang dibatalkan adalah di Lapangan Terbang Congonhas, tetapi menambah Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos, di luar bandar, juga terjejas.
Datuk Bandar, Ricardo Nunes, yang pentadbirannya bertanggungjawab menebang pokok yang menimpa rangkaian elektrik, memberitahu pemberita pada Rabu malam beliau telah memaklumkan kepada syarikat usaha mereka untuk menyelesaikan masalah itu tidak mencukupi.
“Setiap kali sesuatu berlaku, kami terpaksa menghadapi gangguan elektrik,” kata Nunes, yang menyifatkan syarikat utiliti Itali itu sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.
Keadaan rangkaian elektrik pada Rabu lebih buruk, dengan lebih dua juta penduduk Sao Paulo terputus bekalan elektrik.
Pada Khamis, beberapa kereta dengan logo Enel dirakam di kawasan letak kereta syarikat itu di pusat bandar Sao Paulo, yang semakin membangkitkan kemarahan penduduk dan pihak berkuasa.
Syarikat utiliti air, Sabesp, berkata dalam satu kenyataan kekurangan elektrik turut menjejaskan perkhidmatan mereka, kerana pam tidak berfungsi dengan baik.- AP










