KUANTAN: Komitmen Yayasan Pahang (YP) terhadap kecemerlangan tadbir urus serta kebajikan warga kerja sekali lagi membuahkan hasil apabila organisasi itu merangkul empat pengiktirafan utama pada Top Employer Awards 2025 yang berlangsung semalam.
Dalam majlis anugerah berprestij anjuran Jobstore.com itu, YP yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri berjaya membawa pulang tiga Anugerah Emas dan satu Anugerah Perak, sekali gus meneguhkan reputasinya sebagai majikan pilihan di sektor perkhidmatan awam.
Tiga Anugerah Emas yang dimenangi YP ialah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik 2025 (Perkhidmatan Awam), Tempat Kerja Terbaik dan Pilihan Graduan, manakala Anugerah Perak diberikan bagi kategori Majikan Terbaik.
Kesemua anugerah berkenaan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi, yang hadir bersama Ketua Pegawai Kewangan, Datin Nor Aza Abd. Aziz dan Pengurus Unit Pentadbiran dan Sumber Manusia, Razimah Abdullah Hashim.
Pengiktirafan ini dinilai oleh panel juri profesional daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Sumber Manusia, HRD Corp, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia, Malaysia HR Forum, SME Malaysia dan TalentCorp.
Majlis turut menghimpunkan organisasi ternama dari pelbagai sektor seperti Malaysia Airports, Telekom Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, CelcomDigi, AirAsia, Watsons, Boost, Apacs dan KPJ Sentosa KL.
Sementara itu, Mahmud menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Yayasan Pahang atas dedikasi serta komitmen mereka.
“Pengiktirafan ini adalah cerminan usaha berterusan warga Yayasan Pahang untuk memastikan ekosistem kerja yang profesional, inklusif dan berorientasikan prestasi.
“Kami menerapkan prinsip 3C iaitu karakter, komitmen dan kompetensi dalam kalangan setiap kakitangan. Usaha memperkukuh pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja dan inovasi organisasi akan terus dipertingkat demi manfaat rakyat Pahang,” katanya. – UTUSAN











