PETALING JAYA: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) digesa memperluaskan penglibatan mereka merangkumi rantau Amerika Latin dan Afrika bagi mewujudkan ekonomi global yang lebih adil dan inklusif.
Gesaan itu dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata, langkah ini akan dapat menyaksikan agenda APEC diterjemahkan kepada sesuatu yang lebih transformatif, inklusif dan menjana impak yang besar.
Perdana Menteri berkata, ia dapat dicapai melalui kerjasama formal dan tidak formal antara rantau berkenaan dengan anggota APEC bagi rapatkan jurang antara negara-negara Utara dan Selatan Global.
“APEC perlu menjadi ‘jambatan’ bukan sahaja kepada ekonomi Asia Pasifik, malah dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika menuju ke arah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun (Utara dan Selatan Global),” katanya dalam ucapan intervensi pada sesi pleno Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Gyeongju, Korea Selatan, semalam.
APEC kini dianggotai oleh 21 ekonomi termasuk beberapa negara Selatan Global seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina, serta ekonomi maju dari negara Utara Global seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Kanada, Australia dan New Zealand.
Bagaimanapun, APEC hanya mempunyai tiga anggota dari Amerika Latin iaitu Chile, Mexico dan Peru serta tiada wakil dari Afrika.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerangka Apec yang bersifat sukarela dan tidak mengikat menjadikannya peneraju dalam membentuk norma ekonomi global.
Beliau berkata, pendekatan APEC yang ‘berasaskan pujukan dan bukan paksaan’ masih relevan dalam menangani cabaran global masa kini seperti konflik di Gaza dan Ukraine, yang memerlukan dialog dan kepercayaan.
Malah katanya, APEC berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi wadah idea berkaitan pertumbuhan hijau, transformasi digital, rantaian bekalan berdaya tahan dan peralihan tenaga bersih.
“APEC mempelopori semangat di sebalik perjanjian plurilateral yang kemudiannya diterima pakai oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), membangunkan rangka kerja awal untuk memudah cara perdagangan, menjadi contoh dalam menurunkan tarif secara sukarela untuk barangan mesra alam.
“Pendekatan APEC yang tidak terlalu tegas tetapi mampu mempengaruhi, prinsipnya adalah secara rundingan berbanding paksaan, mungkin apa yang dunia perlukan hari ini,” kata beliau.
Anwar dalam pada itu, turut bertemu pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Jensen Huang serta Pengarah Urusan YTL Power International, Yeoh Seok Hong bagi membincangkan perkembangan agenda kecerdasan buatan (AI).
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena APEC 2025.
Anwar berkata, Malaysia menyasar menjadi negara peneraju AI menjelang 2030 dengan memanfaatkan teknologi itu untuk meningkatkan produktiviti dan perkhidmatan awam. – UTUSAN










