BENTONG: Cadangan agar individu berusia 60 tahun ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan ibadah haji menerusi pakej muassasah wajar dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, langkah itu bukan sahaja bersifat inklusif malah memberi keutamaan kepada warga emas yang masih sihat dan berkemampuan daripada segi fizikal serta kewangan.
“Kerajaan sudah tentu sedia maklum bahwa pasangan yang memohon menunaikan haji majoritinya berusia 60 tahun ke atas. Jadi, TH sewajarnya memberikan keutamaan kepada golongan itu lebih-lebih lagi jika berusia 70 tahun ke atas dan masih sihat tubuh badannya.
“Kerajaan perlu melihat keperluan ini secara holistik dan memberikan kelayakan automatik kepada mereka yang layak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, TH masih mengekalkan dasar “daftar awal, ditawar awal” dalam menentukan giliran menunaikan haji, namun bersedia meneliti cadangan kelayakan automatik bagi warga emas.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan supaya warga emas berusia 60 tahun ke atas diberikan kelulusan automatik untuk menunaikan haji melalui muassasah tanpa perlu membuat rayuan dan membayar kos penuh RM33,300.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaini turut mencadangkan agar kuota khas diberikan kepada TH negeri untuk mengenal pasti bakal haji warga emas yang benar-benar bersedia dan mampu menunaikan ibadah tersebut dengan sempurna.
“TH negeri boleh memainkan peranan penting dalam mengenal pasti individu yang sihat, tidak menghidap penyakit kronik dan mempunyai kemampuan untuk menunaikan ibadah haji. Ini akan memastikan kuota digunakan secara berkesan dan adil,” ujarnya.
Beliau menegaskan, dasar sedia ada perlu ditambah baik agar tidak menafikan peluang golongan warga emas yang sudah lama menunggu dan berhasrat menunaikan rukun Islam kelima itu sebelum terlambat.
“Ini bukan soal keutamaan semata-mata, tetapi soal kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Kita tidak mahu mereka menunggu sehingga uzur atau tidak mampu lagi ke Tanah Suci,” katanya. – UTUSAN









