MARAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencuri perhatian apabila mempamerkan kemahiran bermain karom dalam perlawanan santai bersama penduduk di Laman Qulbu di sini.
Dalam perlawanan tersebut, Wan Rosdy digandingkan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Ulu Jempol, Baharuddin Abdullah.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana santai itu menjadi tumpuan warga setempat yang tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri kemesraan Menteri Besar ketika bergaul dengan masyarakat pelbagai peringkat.
Wan Rosdy dan Baharuddin berjaya menewaskan pasangan lawan, Abdullah Ani dari Felda Jengka 1 dan Ramli Mohamad dari Felda Jengka 2.
Abdullah ketika ditemui pemberita mengakui teruja kerana berpeluang berentap secara santai dengan Menteri Besar.
“Kami bukan kejar sangat keputusan, yang penting dapat duduk semeja dengan Menteri Besar, bersembang, bergurau dan merasa sendiri sikap beliau yang mesra rakyat. Kalah pun rasa seronok,” katanya.
Baharuddin pula menyifatkan pengalaman berpasangan dengan Menteri Besar sebagai satu kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Datuk Seri (Wan Rosdy) rupanya cekap dan ada ‘skill’ dalam permainan ini. Tetapi yang lebih saya kagum, beliau sentiasa memberi peluang orang kampung rasa dekat dengan pemimpin. Ini permainan santai, tapi nilainya pada hubungan hati dan silaturahim,” ujarnya. – UTUSAN










