TUARAN: Cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak wajar diberi perhatian khusus memandangkan kedua-dua negeri mempunyai keluasan dan pertumbuhan penduduk yang besar berbanding negeri di Semenanjung.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai langkah yang sememangnya dinantikan kedua-dua negeri itu.
Beliau yang juga calon bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sualaman berkata, keperluan menambah kerusi Parlimen juga selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Beberapa kawasan Parlimen di Sabah kini tidak lagi seimbang dengan jumlah penduduk dan keluasan sebenar. Kawasan kita ini pun, bilangan penduduknya sudah bertambah. Contoh Kinabatangan, dia besar macam Pahang, satu Parlimen setiap kawasan. Macam Tuaran, kita ada satu Parlimen tetapi dia besarnya lebih daripada Perlis.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan jentera GRS DUN Sulaman di Kampung Lok Batik, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melihat keperluan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Anwar berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan kerajaan melihat ia sebagai satu dasar yang wajar dipertimbangkan.
Bagaimanapun katanya, penambahan kerusi tersebut tidak melibatkan satu pertiga kerusi Parlimen seperti yang dibangkitkan, sebaliknya kerajaan hanya bersetuju bahawa peningkatan kerusi adalah wajar berdasarkan keadaan semasa. – UTUSAN










