KUBANG PASU: Usaha Gano Excel yang terkenal sebagai peneraju penyelidikan Ganoderma sejak 1995 memperkukuh bidang perubatan tradisional dan komplementari di pentas antarabangsa terus diperkasa menerusi pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bersama institusi luar negara.
Pemeteraian kesemua MoU tersebut bakal membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk berasaskan bahan semula jadi, serta pertukaran kepakaran antara negara.
Pengasas dan Presiden Kumpulan Gano Excel, Leow Soon Seng berkata, kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara institusi, tetapi menjadi asas kepada pembangunan perubatan pihaknya berasaskan bukti lebih meluas dan diiktiraf antarabangsa.
“Kejayaan pada hari ini telah mencerminkan perjalanan panjang Gano Excel yang bermula di Malaysia dan kini menembusi pasaran di lebih 100 buah negara.
“Antara pencapaian penting kami adalah pelaksanaan kajian klinikal di Uzbekistan menggunakan produk unggul kami, Gano Plus yang mengandungi bahan proprietari ReiGard iaitu ekstrak Ganoderma paling berkesan hasil kajian saintifik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Soon Seng menyertai pemeteraian MoU melibatkan Gano Excel dengan Guangzhou University of Chinese Medicine (GZUCM) dan Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI) Wilayah Utara Sumatera.

Pemeteraian turut melibatkan MoU tiga hala antara pihaknya dengan Pusat Pembangunan Kelayakan Profesional Pekerja Perubatan, Kementerian Kesihatan Uzbekistan dan GZUCM.
Sementara itu, majlis berkenaan turut dilengkapkan dengan penganjuran Seminar Antarabangsa Perubatan Tradisional dan Komplementari kali kedua yang menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada pakar, penyelidik serta pengamal perubatan dari dalam dan luar negara.
Ujar Soon Seng, antara negara yang mengambil bahagian termasuk China; Indonesia; Thailand; Uzbekistan dan Malaysia, dengan penyertaan institusi ternama seperti GZUCM; South China Agriculture University; Pusat Pembangunan Kelayakan Profesional Pekerja Perubatan Uzbekistan; Universiti Sains Malaysia (USM) dan Aptisi Indonesia.
Seminar yang berlangsung di Gano Discovery Centre turut menjadi wadah penting bagi para pakar berkongsi dapatan penyelidikan serta teknologi terkini berkaitan potensi bahan semula jadi dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia.
Kata beliau, penganjuran seminar amat bermakna kerana diadakan di tanah kelahiran Gano Excel, sekali gus menjadi simbol kepulangan syarikat itu ke tempat asal selepas hampir tiga dekad mengembangkan sayap di peringkat global.
“Seminar ini bukan sekadar pertemuan ilmiah, tetapi medan untuk menyemai semangat baharu dalam kalangan penyelidik dan pengamal perubatan untuk terus berinovasi.
“Kami percaya dengan kerjasama antarabangsa yang kukuh, kita mampu membawa penyelidikan perubatan tradisional ke tahap yang lebih tinggi serta memberi manfaat kepada masyarakat dunia,” katanya. – UTUSAN










