KHARTOUM: Angkatan Tentera Sudan (SAF) yang bersekutu dengan kerajaan berjaya menawan semula dua wilayah di negeri Kordofan Utara daripada militan Rapid Support Forces (RSF), ketika ia terus membakar dan menanam mayat di al-Fashir, Darfur, untuk menutup bukti pembunuhan beramai-ramai.
Rakaman yang tular minggu ini menunjukkan anggota SAF bersenjata senapang dan pelancar roket meraikan pengambilalihan mereka ke atas Kazqil dan Um Dam Haj Ahmed di Kordofan Utara, negeri yang dijangka menjadi lokasi pertempuran sengit dalam beberapa minggu akan datang.
Kazqil, yang jatuh ke tangan RSF pada akhir Oktober lalu, terletak di selatan el-Obeid, ibu negeri strategik yang cuba dikuasai oleh kumpulan tersebut daripada tentera.
Pertempuran antara dua jeneral yang mengetuai tentera dan kumpulan separa tentera sejak April 2023, semakin merebak ke bahagian timur ketika RSF mengukuhkan kawalan di kawasan barat negara yang kini memasuki tahun ketiga perang saudara kejam.
Konflik, yang didorong oleh bekalan senjata dari rantau berdekatan, mencetuskan keadaan yang digelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis perpindahan terbesar di dunia.
Lebih 12 juta rakyat terpaksa meninggalkan rumah mereka, manakala puluhan ribu terkorban atau cedera.
PBB juga mengesahkan berlaku kebuluran di beberapa kawasan negara itu.
RSF minggu lalu mengumumkan menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) dan pengantara antarabangsa, susulan kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman militan itu di al-Fashir.
Bagaimanapun, tentera menolak usaha perdamaian itu dan kedua-dua pihak terus mengerahkan anggota dan senjata di bahagian tengah negara untuk pertempuran seterusnya.
Selepas menawan sepenuhnya al-Fashir daripada tentera, RSF terus melupuskan mayat dalam jumlah yang besar.
Analisis imej satelit dikeluarkan Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Yale (HRL) mendedahkan empat lokasi baharu di mana RSF melupuskan mayat di sekitar bandar itu.
HRL tidak dapat menganggarkan jumlah sebenar mangsa yang dibunuh RSF atau kadar pembunuhan itu, tetapi menegaskan pemerhatian tersebut membimbangkan memandangkan ramai penduduk awam masih tidak diketahui keberadaan mereka.- AL JAZEERA










