BAITULMUQADDIS: Tentera Israel melepaskan tembakan ke arah pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan semalam.
Insiden tersebut disifatkan misi pengaman PBB sebagai pelanggaran serius, meskipun tiada anggota dilaporkan cedera.
Tentera Israel dalam kenyataan mendakwa, pasukannya melepaskan tembakan ke arah dua individu di kawasan El Hamames berhampiran sempadan Israel, dan hanya kemudian menyedari mereka adalah anggota pengaman PBB.
Tentera Israel memberi alasan kononnya gagal mengenal pasti pasukan pengaman disebabkan keadaan cuaca buruk, dan insiden terseut kini sedang disiasat.
Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL) berkata, tentera Israel melepaskan tembakan dari sebuah kereta kebal Merkava yang berada di dalam wilayah Lubnan ke arah anggota pengaman berjalan kaki.
Tembakan mesingan berat mendarat lima meter dari pasukan pengaman, memaksa mereka mencari perlindungan.
Menurut UNIFIL, kereta kebal Israel itu berundur selepas anggota pengaman menghubungi Israel melalui saluran rasmi.
UNIFIL menyifatkan insiden itu sebagai ‘pelanggaran serius’ terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang antara lain menyatakan tiada pasukan bersenjata dibenarkan beroperasi di selatan Lubnan kecuali anggota pengaman PBB dan tentera Lubnan.
Tentera Lubnan dalam kenyataannya berkata, pelanggaran kedaulatan oleh Israel menimbulkan ketidakstabilan dalam negara itu dan menghalang tentera sendiri daripada dikerahkan di selatan.
Tentera Israel menempatkan lima pos di Lubnan dan kerap menjalankan serangan udara di selatan negara itu, kononnya menyasarkan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Israel dan Hezbollah bersetuju dengan gencatan senjata tahun lalu yang menetapkan kumpulan Lubnan itu tidak dibenarkan memiliki sebarang senjata di selatan, manakala tentera Israel mesti berundur sepenuhnya dari Lubnan.- AGENSI









