KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu terbuka dengan usul pertambahan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat dalam persidangan DUN, minggu lalu selagi ia memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Rozi Mamat berkata, pihaknya mengambil maklum usul berkenaan sebagai satu perkembangan penting dalam proses demokrasi negeri.
Beliau berkata, perkara berkaitan semakan semula persempadanan dan penambahan kerusi di negeri ini bukan baharu malah pernah disuarakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu.
“Cadangan dan kajian awal mengenai keperluan menambah kerusi pernah dibangkitkan berdasarkan faktor pertambahan penduduk dan keluasan kawasan. Kerana itu, kita menghormati proses yang sedang berjalan hari ini.
“Apa juga keputusan yang dibuat nanti mestilah telus, profesional dan benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat. UMNO Terengganu bersikap terbuka selagi ia memberi manfaat kepada keseimbangan agihan pengundi, meningkatkan kecekapan wakil rakyat dan mengukuhkan demokrasi negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 14 November lalu, DUN Terengganu meluluskan Usul Pelaksanaan Kajian Semula atau Pindaan Persempadanan Kawasan dan Pertambahan Kerusi bagi DUN di Negeri Terengganu.
Usul tersebut dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Datuk Ariffin Deraman dalam persidangan terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) dan disokong oleh ADUN Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi serta mendapat sokongan sebulat suara Dewan tanpa perbahasan.
Dalam cadangannya, Ariffin turut menyebut berkenaan pertambahan sembilan kerusi DUN Negeri Terengganu. Namun, cadangan pertambahan itu belum diperincikan dan dijangka dikemukakan dalam persidangan akan datang.
Ketika ini, Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN yang diperuntukkan semasa urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Kali Ketiga pada 1984.
Menurut Rozi, dalam setiap keputusan dibuat, perkara yang mesti menjadi keutamaan adalah perubahan itu akhirnya membawa kebaikan kepada rakyat Terengganu secara keseluruhannya.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Hasbie Muda berkata, pihaknya menyambut baik usul berkenaan kerana ia selari dengan pertambahan penduduk supaya mutu perkhidmatan wakil rakyat dapat ditingkatkan. – UTUSAN










