Taiwan tarik balik sekatan ke atas produk makanan Jepun

Taiwan tarik balik sekatan ke atas produk makanan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taiwan menarik balik semua sekatan terhadap import makanan dari Jepun berkuat kuasa semalam, sekali gus menunjukkan sokongan baharu Taipei kepada Tokyo susulan terdapat laporan China akan menghentikan pembelian ekoran pertikaian dengan Perdana Menteri Jepun yang baharu.

Kerajaan Taiwan sebelum ini mengenakan sekatan menyeluruh ke atas import makanan dari lima wilayah Jepun berhampiran kawasan bencana nuklear Fukushima pada 2011, yang tercetus akibat gempa bumi dan tsunami besar, sebelum melonggarkan sebahagian sekatan tersebut pada 2022 serta tahun lalu.

Dalam satu kenyataan semalam, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Taiwan memaklumkan langkah pengurusan keselamatan makanan Jepun kembali seperti biasa berkuat kuasa serta-merta.

“Sejak 2011, Taiwan menjalankan pemeriksaan di sempadan ke atas lebih 270,000 kumpulan makanan Jepun bagi ujian sinaran, dengan kadar kegagalan sifar,” katanya.

Penilaian risiko mendapati pendedahan radiasi tambahan daripada makanan Jepun adalah di tahap boleh diabaikan, menurut agensi itu yang memetik data saintifik.

Selepas kelonggaran tersebut, hanya China, Hong Kong, Macau, Russia dan Korea Selatan sahaja yang masih mengekalkan sekatan khas terhadap produk makanan Jepun.

Pengumuman tersebut dibuat ketika hubungan Tokyo-Beijing kembali tegang susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada awal bulan ini yang menyatakan negaranya boleh campur tangan secara ketenteraan jika berlaku serangan ke atas Taiwan.

China mendakwa, Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk meletakkan pulau itu di bawah kawalannya.

Sementara itu, Kementerian Luar Jepun mengalu-alukan keputusan Taipei, sambil menyatakan langkah tersebut akan menggalakkan pemulihan semula kawasan yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami 2011.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN