KOTA BHARU: Kes pecah cermin kereta melibatkan kerugian lebih RM112,750 berjaya diselesaikan selepas polis menahan pasangan kekasih yang dalang kepada kegiatan tersebut pada Sabtu lalu.
Pasangan kekasih berusia 47 dan 36 tahun itu ditahan polis pada pukul 6.15 petang dalam serbuan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sri Cemerlang di sini.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebelum ditahan kedua-dua suspek dipercayai telah memecah cermin sebuah kereta di kawasan letak kereta Pasaraya Eco di Jalan Wakaf Mek Zainab.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sudah aktif melakukan kegiatan tersebut sejak setahun.
“Kesemua 21 kes yang dilakukan melibatkan tahun ini sahaja. Semasa pasangan itu ditahan, kita telah rampasan lima buah telefon bimbit, tablet (1), laptop (1), bag pelbagai jenis (7), wang tunai (RM20), kad bank (3) dan kad peribadi (5).
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza, satu kotak pemutar skru, set spanar, dua batang pemutar skru dan sebentuk cincin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kedua-dua suspek ini menjadikan lokasi yang tidak mempunyai kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai kawasan target.
Katanya, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Dengan tangkapan ini, kita berjaya selesaikan 21 kes pecah kereta di sekitar Kota Bharu,” ujarnya.-UTUSAN
–










