KOTA BHARU: Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jenob, Tanah Merah dekat sini sudah melepasi paras bahaya sejak malam tadi susulan hujan lebat dua hari lalu.
Menurut sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras 9.19 meter dan sudah melepasi tahap normal iaitu 5 meter.
Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah turut melepasi paras bahaya iaitu di tahap 23.57 seterusya melepasi tahap normal 19 meter.
Bagaimanapun, Sungai Golok di Kuala Jambu masih berada di paras normal.
Sementara itu, penduduk Rantau Panjang Nasran Nasuha, 33, berkata, dia sudah selesai membuat persiapan untuk menghadapi banjir sejak dua hari lalu dengan memindahkan semua barangan ke tempat yang lebih tinggi.
Katanya, langkah awal itu bagi menggelakan dia dan keluarga berdepan kesukaran sebaik sahaja air mula melimpah masuk ke kawasan pekan Rantau Panjang.
“Walaupun sudah lali dengan situasi banjir, namun kami tetap waspada kerana banjir sejak akhir-akhir ini sukar untuk diramalkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Din Abdullah, 45, berkata, dia sudah membuat persiapan awal sebaik sahaja masuk bulan November.
“Persiapan awal ini penting supaya keadaan tidak menjadi kelam-kabut sebaik sahaja pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk berpindah,” katanya.-UTUSAN










