PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan sistem pemantauan barangan larangan di sekolah disifatkan sebagai langkah baik namun perlu diperincikan supaya tidak membebankan guru yang sedia menanggung pelbagai tugas pengurusan dan pentadbiran.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, pemeriksaan beg murid sebenarnya telah lama dilaksanakan di sekolah, malah masih diteruskan dalam bentuk operasi khas secara berkala.
Bagaimanapun, katanya, realiti di sekolah menunjukkan guru tidak mampu memeriksa kesemua beg murid secara menyeluruh memandangkan jumlah pelajar yang ramai serta beban tugas lain yang perlu dilaksanakan setiap hari.
“Biasanya pemeriksaan beg dilakukan di dataran perhimpunan melibatkan semua murid, namun kaedah ini kurang berkesan kerana mereka telah menyorokkan lebih awal barangan larangan seperti vape dan telefon bimbit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, satu sistem perlu diwujudkan bagi memudahkan kaedah pemantauan terhadap barangan larangan yang dibawa oleh murid ke sekolah.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sistem berkenaan boleh melibatkan seramai empat guru disiplin yang bertugas mengikut penggiliran bagi menjalankan pemeriksaan mengejut di setiap kelas..
Tambah Fauzi, dalam situasi semasa, operasi pemeriksaan penuh terhadap semua beg murid hanya dilakukan apabila wujud aduan atau kes tertentu, dan bukannya rutin harian kerana memerlukan tenaga kerja ramai dan masa yang panjang.
“Pihak sekolah sebenarnya sentiasa berusaha memastikan keselamatan pelajar terjamin, namun guru juga perlu diberi ruang supaya fokus kepada tugas utama iaitu mengajar, bukan hanya mengawal disiplin,” ujarnya.
Fouzi menjelaskan, bagi kes membabitkan kandungan lucah atau penyalahgunaan telefon bimbit, murid terlibat akan dirujuk kepada guru kaunseling untuk diberikan sesi nasihat dan pemantauan susulan.
Beliau berpendapat, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh memperkenalkan mekanisme lebih tegas dengan menetapkan bahawa barangan larangan yang dirampas tidak perlu dipulangkan semula kepada murid sebagai langkah mendidik dan memberi kesedaran.
“Langkah itu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada murid, malah mampu mengurangkan keinginan mereka membawa barangan terlarang ke sekolah pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










