KUALA LUMPUR: Sikap berat sebelah kuasa besar dunia yang meletakkan kepentingan politik dan ekonomi mengatasi nilai kemanusiaan sejagat, menyebabkan ramai nyawa menjadi mangsa pembunuhan di Sudan.
Duta Besar Republik Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer berkata, ketiadaan kehendak politik antarabangsa untuk menangani konflik di negara bergolak itu mendorong kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) semakin berani meneruskan siri kekejaman terhadap orang awam.
Beliau menegaskan, sikap membisu dan kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas memberi ruang kepada RSF untuk terus melakukan pembunuhan, kemusnahan serta pelanggaran hak asasi manusia.
“Politik berkepentingan yang sempit dan berat sebelah sesetengah pihak terhadap krisis Sudan, secara langsung menyumbang kepada tragedi pembunuhan beramai-ramai di negara itu.
“Akibatnya, penduduk yang tidak berdosa menjadi mangsa kegagalan kehendak antarabangsa serta sikap tidak peduli masyarakat dunia terhadap kezaliman ini,” katanya dalam sidang media di Kedutaan Sudan di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan Sudan berulang kali memberi amaran mengenai peningkatan konflik di wilayah berkenaan, termasuk mendesak supaya Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dilaksanakan sepenuhnya.
Hassan turut mengutuk kekejaman dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan militan bersenjata berkenaan, khususnya di bandar Al-Fashir, wilayah Darfur, yang kini menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.
“Militan pengganas pimpinan Dagolo (Mohamed Hamdan Dagolo) sudah lama merancang tindakan genosid ini melalui pengepungan dan kebuluran terhadap penduduk Al-Fashir, selama lebih dua tahun setengah yang akhirnya memuncak kepada pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan.
“Perang yang dilancarkan oleh militan ini terhadap rakyat Sudan merupakan peristiwa berbahaya dalam sejarah genosid dunia, menjadikan kumpulan itu simbol kepada pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam tidak berdosa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dan pasukan keselamatan Sudan akan terus mempertahankan kedaulatan serta perpaduan negara, termasuk menggunakan semua cara yang sah untuk menumpaskan kumpulan pengganas dan memulihkan semula keamanan.
Hassan turut menegaskan pendirian kerajaan Sudan untuk menolak sebarang bentuk rundingan dengan RSF dan meminta negara lain terutama Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil pendekatan yang realistik terhadap konflik di Sudan.
“Bagaimanapun mungkin kita berunding dengan kumpulan yang membunuh rakyat kita, membakar bandar dan merogol wanita serta kanak-kanak?
“Mereka bukan gerakan politik atau kumpulan yang mempunyai matlamat ideologi untuk dirundingkan, sebaliknya kumpulan tentera upahan yang dibiayai pihak asing untuk memusnahkan Sudan,” katanya. – UTUSAN










