Sidang Kemuncak G20 dibuka tanpa kehadiran Trump

Sidang Kemuncak G20 dibuka tanpa kehadiran Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Pertelagahan antara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengenai masa depan Ukraine dijangka menjadi tumpuan utama Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan yang bermula hari ini.

Sidang itu diadakan tanpa penyertaan Presiden AS, Donald Trump, namun disertai ramai pemimpin dunia lain, termasuk Perancis, Emmanuel Macron, Perdana Menteri India, Narendra Modi, Perdana Menteri China, Li Qiang, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Trump memboikot sidang kemuncak itu kerana menyifatkan keutamaan Afrika Selatan, termasuk usaha meningkatkan kerjasama global dalam perdagangan dan tindakan iklim, bertentangan dengan dasar AS.

Bagaimanapun, Trump tetap menjadi sorotan selepas mengumumkan pelan unilateral mengejutkan untuk menamatkan perang di Ukraine, menjadikan isu itu antara fokus utama pertemuan tersebut.

Selain konflik Ukraine, satu lagi isu membelenggu Sidang Kemuncak G20 kali ini adalah mengenai kebuntuan dalam rundingan iklim COP30 yang berlangsung di Brazil.

Jumaat sepatutnya menjadi hari terakhir perbincangan, namun rundingan selama hampir dua minggu itu berlanjutan kerana negara pengeluar petroleum didakwa menolak sebarang rujukan kepada penghapusan bahan api fosil dalam teks akhir.

Walaupun berdepan cabaran, tuan rumah Afrika Selatan tetap optimis mendapatkan sokongan untuk matlamat G20 mereka, termasuk mengurangkan ketidaksamaan ekonomi, mengecilkan hutang negara berpendapatan rendah, memastikan bantuan untuk peralihan tenaga bersih dan mewujudkan pakatan mineral kritikal.

“Sebagai tuan rumah, kami berharap deklarasi pemimpin akan diterima, yang akan menetapkan agenda baharu dan berterusan untuk dunia, terutamanya G20,” kata Presiden Cyril Ramaphosa semalam.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN