Semua elemen baharu kes kematian murid Tahun Empat di Senawang diteliti

Semua elemen baharu kes kematian murid Tahun Empat di Senawang diteliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan memberi perhatian penuh terhadap semua elemen baharu yang dibangkitkan dalam kes kematian seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah di Senawang, bulan lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pendakwaan untuk membuat penilaian dan keputusan sewajarnya berdasarkan fakta siasatan.

“Elemen-elemen lain yang dibangkitkan selepas siasatan dijalankan, kita ambil maklum. Namun biarlah pihak Timbalan Pendakwa Raya membuat penilaian dengan selesa dan tanpa tekanan,” katanya.

Menurut Alzafny, pihaknya telah menerima semula kertas siasatan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kini sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia serta hospital.

“Apabila semua laporan diperoleh dan dilengkapkan, kertas siasatan itu akan dikembalikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PDRM Negeri Sembilan akan melaksanakan pemeriksaan mengejut di sekolah berasrama yang dikenal pasti berisiko bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) bagi membendung gejala buli dan salah laku pelajar.

Katanya, langkah itu adalah antara tindakan segera yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Beberapa sekolah di negeri ini telahpun dikenal pasti dan ada antaranya mendapat permintaan daripada guru sekolah untuk dilakukan pemantauan awal. 

“Pemeriksaan ini akan dilakukan secara mengejut dengan kerjasama pihak JPNS bagi memastikan pelbagai isu melibatkan pelajar dapat ditangani,” katanya.

Pada masa sama, Alzafny berkata, tiada lagi ruang untuk mana-mana sekolah menyembunyikan kejadian buli dengan alasan menjaga reputasi.

“Semua pihak perlu berani dan telus. Setiap laporan akan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan tiada lagi salah faham atau persepsi negatif terhadap sekolah mahupun PDRM,” katanya.

Sebelum ini, murid Tahun Empat, Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin, 10, ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Bedah siasat mendapati punca kematian adalah tekanan pada leher dan tiada kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa. Polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan berhubung kesalahan buli melalui komunikasi.

Bagaimanapun, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, mendakwa anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Beliau berkata, arwah sempat memberitahu kakaknya mengenai ugutan tersebut dan polis turut menemukan nota tulisan tangan dalam buku milik mangsa dipercayai mengandungi mesej berunsur ugutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×