JAKARTA: Indonesia masih meneliti cadangan menghantar sehingga 20,000 tenteranya ke Gaza bagi menyertai misi keamanan dan kemanusiaan, kata Menteri Luar, Sugiono.
Beliau menegaskan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas rundingan menyeluruh bersama negaran berhampiran Palestin dan penyelarasan sedang dijalankan terutama dengan Jordan.
“Kami terus berunding dengan negara-negara sekitar Palestin, khususnya Jordan, sebelum keputusan akhir dibuat. Segalanya masih dalam proses,” katanya kepada pemberita di Istana Merdeka.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pendedahan Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin, mengenai Tentera Nasional Indonesia (TNI) menyiapkan 20,000 anggota atas arahan Presiden Prabowo Subianto.
Anggota berkenaan akan memberi tumpuan kepada operasi kemanusiaan, termasuk rawatan perubatan kepada penduduk terjejas serta kerja-kerja pembinaan semula infrastruktur.
“Kami memaksimumkan persiapan 20,000 anggota, menumpukan kepada kemampuan kesihatan dan pembinaan,” kata Sjafrie di Kementerian Pertahanan, Jakarta.
Beliau berkata, misi itu bertujuan mewujudkan keadaan yang boleh menyokong keamanan jangka panjang dan rundingan politik pada masa depan.
Selain kemungkinan penugasan besar-besaran itu, Sjafrie turut mengesahkan Tentera Udara Indonesia akan meneruskan operasi pengeboman udara untuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Cadangan penghantaran tentera itu berkait rapat dengan ucapan Presiden Prabowo di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu, di mana dalam ucapan yang dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Prabowo menegaskan komitmen Indonesia terhadap PBB, multilateralisme dan keselamatan bersama.
Pada sesi itu, Prabowo menyatakan kesediaan Indonesia menghantar 20,000 atau lebih anggota tentera sekiranya diminta Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB, bukan sahaja ke Gaza tetapi juga ke Ukraine, Sudan, Libya atau mana-mana kawasan yang memerlukan misi pengaman.
Indonesia kini berada dalam kelompok 10 negara penyumbang pasukan pengaman terbesar PBB, dengan lebih 2,700 anggota tentera dan polis bertugas di Timur Tengah, Afrika dan Asia. -AGENSI










