PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turun padang meninjau keadaan semasa banjir serta menyantuni mangsa di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Padang Besar, malam tadi.
Baginda seterusnya menyeru seluruh rakyat Perlis agar sentiasa mematuhi arahan agensi keselamatan serta mengikuti makluman terkini daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kepatuhan terhadap arahan tersebut amat penting bagi memastikan proses pemindahan dan penyelamatan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat.
Baginda turut menekankan keperluan untuk memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) bantuan bencana khususnya di kawasan berisiko tinggi serta mudah terputus hubungan.
Ia sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi banjir yang sedang melanda beberapa lokasi di negeri ini.
“Pelaksanaan SOP bantuan wajar diperkemas, terutama bagi menangani isu mangsa terkandas dan terputus akses laluan seperti di Wang Kelian.
“Penggunaan teknologi moden seperti dron juga perlu dioptimumkan bagi tujuan pemantauan serta penghantaran bantuan ke lokasi yang sukar ditembusi,” titah baginda.
Baginda turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan yang masih berarus deras, berwaspada terhadap kabel elektrik terdedah serta berhati-hati dengan kemungkinan kehadiran haiwan berbisa yang terbawa arus banjir.
Kanak-kanak juga hendaklah dielakkan daripada bermain di kawasan dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Setakat ini, sebanyak 589 mangsa membabitkan 169 keluarga ditempatkan di empat PPS.
Manakala PPS Masjid Nurul Husna, Wang Kelian bukan sahaja menempatkan 150 penduduk tempatan, tetapi turut menjadi tempat perlindungan kira-kira 500 pelancong dan pengembara yang terkandas ketika dalam perjalanan pulang dari Thailand akibat jalan raya terputus hubungan.-UTUSAN










