MEXICO CITY: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Mexico kelmarin, bagi membantah jenayah keganasan serta pentadbiran Presiden Claudia Sheinbaum, dalam demonstrasi besar yang digerakkan golongan Generasi Z.
Demonstrasi tersebut menuntut tindakan terhadap beberapa pembunuhan berprofil tinggi, termasuk kes kematian Datuk Bandar Uruapan, Carlos Manzo, yang sebelum ini lantang dalam isu kartel dadah.
Walaupun dianjurkan oleh generasi muda, demonstrasi tersebut berjaya menarik sokongan orang ramai dan turut disertai penyokong daripada parti pembangkang.
Sheinbaum mendakwa, perarakan yang turut berlangsung di beberapa bandar lain itu dibiayai oleh ahli politik sayap kanan yang menentang pemerintahannya.
Penunjuk perasaan merobohkan sebahagian penghadang di Istana Negara yang menjadi kediaman rasmi presiden, memaksa polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.
Ketua Keselamatan Mexico City, Pablo Vazquez berkata, 100 anggota polis cedera, dengan 40 daripadanya memerlukan rawatan di hospital, manakala 20 penunjuk perasaan ditangkap atas kesalahan mencuri dan menyerang.
Manzo ditembak mati pada 1 November lalu ketika menghadiri festival Hari Kematian.
Beliau dikenali sebagai figura lantang mengenai kegiatan kartel dan keganasan melanda Uruapan, serta kerap mendesak tindakan tegas terhadap kumpulan bersenjata yang menakutkan penduduk.
Walaupun Sheinbaum mengambil tindakan terhadap kartel, beliau enggan menyeru perang habis-habisan terhadap dadah, memandangkan percubaan pendahulunya membawa kepada pertumpahan darah.
“Kami menyokong kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun jika terdapat golongan muda yang mempunyai tuntutan, tetapi isu di sini ialah siapa yang mempromosikan perhimpunan tersebut,” katanya dalam taklimat.
Sheinbaum masih menikmati kadar sokongan melebihi 70 peratus pada tahun pertama pentadbirannya dan berjaya mengurangkan kegiatan penyeludupan fentanyl, isu utama bagi rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Namun beliau terus dikritik kerana gagal mengekang gelombang keganasan yang menjerut negara, selain berdepan tekanan diplomatik daripada negara jiran.- BBC










