KOTA BHARU: Pas yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menjadi kerajaan sekali gus memimpin Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, ia berpandukan kepada perkembangan semasa dan tahap kesedaran rakyat Sabah untuk melakukan perubahan pentadbiran semain baik.
Katanya, situasi itu menyebabkan PN membuat keputusan untuk bertanding di 40 kerusi pada PRN Sabah nanti.
“PN ada potensi untuk jadi kerajaan. Sebab itu kita bertanding di 40 kerusi kali ini.
“Sasaran kita jelas, kita mahu jadi kerajaan. Kalau menang sendirian lebih baiklah,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar bagaimanapun memberitahu, agak sukar untuk mana-mana parti menang secara tunggal pada PRN itu nanti.
Katanya, PN sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti di Sabah sekali gus membentuk kerajaan campuran.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, PN mengumumkan bertanding di 41 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Antara nama besar yang diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang ditempatkan di DUN Sugut.
Turut dinamakan ialah Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang dipertaruhkan untuk merampas DUN Karambunai manakala
Naib Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nabila Norsahar di DUN Darau.-UTUSAN










