Prestasi sandaran Mohamad tawan semula Bongawan

Prestasi sandaran Mohamad tawan semula Bongawan

MOHAMAD Alamin bertemu pengundi semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MINGGU pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan persaingan semakin sengit di Bongawan, namun calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin kekal yakin prestasi berterusan yang dibawa sejak menjadi Ahli Parlimen Kimanis bermula 2020.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, Mohamad mengakui dirinya di posisi underdog berbanding sembilan calon lain, termasuk tokoh berpengalaman politik dan penyandang namun percaya rakyat kini matang menilai pretasi dan kemampuan menyelesaikan masalah, bukan sekadar janji baharu setiap musim pilihan raya.

UTUSAN: Sejauh mana mana sokongan minggu pertama PRN?
MOHAMAD: Kita bekerja sudah lama dan tanpa henti kerana budaya UMNO walaupun tidak berkuasa, namun kami tetap turun padang menemui rakyat.
Saya menggunakan semaksi­mum mungkin sebagai Ahli Parlimen Kimanis sejak menang Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2020 untuk membantu rakyat dengan kekuatan ada termasuk sebagai Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan.

Saya cuba menyelesaikan masalah berlaku di sini sebagai contoh infrastruktur sekolah berjaya digantikan. Misalnya Se­kolah Kebangsaan (SK) Pekan Kimanis dahulu bangunannya kayu kini ditambahbaik dengan kos hampir RM20 juta.

Masalah utama lain membe­lenggu adalah jalan raya, apabila satu projek berimpak tinggi berjaya diluluskan ketika saya menjadi wakil rakyat di sini iaitu naik taraf jalan Bukit Manis sejauh 29 kilometer, sekali gus menjadi game changer kehidupan penduduk.

 

Apakah tawaran untuk Bongawan?
Banyak isu kita diteruskan perjuangkan sekiranya BN diberikan mandat bukan sahaja soal pendidikan dan infrastruktur tetapi juga menambahbaik kemudahan rakyat. Pekan Bongawan misalnya, hanya mempunyai satu masjid sahaja dengan kepadatan penduduk terlalu tinggi.

Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan satu lagi masjid dengan peruntukkan RM4 juta dan proses pembinaan bermula dalam masa terdekat.

Kita mahu mengubah wajah Pekan Bongawan, ada lot-lot kedai baru sahaja terbakar manakala dewan usang akan diroboh dan akan diganti dengan baharu arked kebudayaan Bongawan.

Selain itu, kita mahu memperkenalkan Bongawan ini sebagai lokasi pelancongan dalam dan luar negeri memandangkan sini banyak produk pelancongan.

 

Komitmen BN selama ini?
Lebih 40 peratus penduduk Bongawan merupakan anak muda bawah 40 tahun. Jadi bagaimana kita hendak bersama mereka? Dengar pandangan mereka.

Mereka mahu dinaiktaraf kemudahan sukan, saya telah pun lakukan terlebih dahulu tambahbaik gelanggang futsal, daripada tiada bumbung kini ada bumbung. Saya pun dah jumpa Perdana Menteri untuk minta peruntukkan khas untuk tambahbaik semua kemudahan di sini.

 

Apa mesej ingin disampaikan kepada pengundi?
Insya-Allah dengan mandat diberikan, kita harap rakyat dapat lihat prestasi BN di sini. Setiap kempen di bawah, kita akan cakap soal prestasi khususnya sejak saya menjadi Ahli Parlimen Kimanis dengan membawa banyak agenda perubahan kawasan khususnya di DUN Bongawan.

Lebih banyak masalah diselesaikan sekiranya BN diberikan mandat. Apatah lagi, soal kemudahan lain seperti jambatan sempit di mana kita berjanji untuk menyelesaikan masalah ini.

 

Komen pertarungan sengit dengan 9 calon lain?
Saya berhadapan dengan Tan Sri Anifah Aman bekas Ahli Parlimen Kimanis yang kini bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebelum dia mewakili BN. Beliau menjadi orang hebat kerana BN, tanpa parti ini, beliau tiada sesiapa walaupun mungkin berharta.

Tetapi dalam politik ini, orang boleh menilai kesetiaan jika meninggalkan parti.

Terpulang pada beliau nak cakap apa, saya tetap menghormati beliau sebagai senior politik.

Saya masuk pilihan raya ini sebagai calon underdog (yang dianggap kurang berpeluang untuk menang) jika dibandingkan dengan calon lain termasuk penyandang daripada Warisan (Dr. Daud Yusof).

Tetapi BN mempunyai keya­kinan begitu tinggi berdasarkan prestasi cemerlang sejak dahulu di mana pembangunan dinikmati hari ini adalah jasa BN. Malah dua calon bertanding iaitu Tan Sri Anifah dan Dr. Yusof pernah menjadi ahli BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN