Polis serbu ‘call centre’ tipu pelaburan di Triang, lawan warganegara China ditahan - Utusan Malaysia

Polis serbu ‘call centre’ tipu pelaburan di Triang, lawan warganegara China ditahan

LAPAN warganegara China terbabit sindiket penipuan pelaburan ditahan di sebuah bilik hotel di Triang, Bera, Pahang - FOTO IHSAN IPD BERA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan yang menjadikan sebuah bilik hotel di Triang sebagai ‘call centre’ atau pusat panggilan dalam serbuan khas di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee  Nazir berkata, dalam operasi pada 27 November lalu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera menyerbu sebuah bilik di Hotel GS Bera, Triang.

“Hasil serbuan tersebut berjaya membawa kepada tangkapan enam lelaki dan dua wanita warganegara China berusia antara 28 hingga 39 tahun. Kesemua mereka disyaki terlibat sebagai operator ‘call centre’ sindiket penipuan pelaburan yang mensasarkan mangsa di negara China,” katanya di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua komputer riba dan 19 telefon bimbit yang digunakan suspek untuk berkomunikasi dengan mangsa serta mengendalikan transaksi penipuan.

Menurut Zulkiflee, kegiatan sindiket dipercayai sudah beroperasi sejak awal Oktober lalu dengan menyasarkan mangsa melalui tawaran pelaburan yang kononnya memberikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua tangkapan direman sehingga 1 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN