KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 sekiranya tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti.
Ketua Whipnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi politik Sabah yang dinamik memungkinkan wujudnya perbincangan menerusi gabungan pasca pilihan raya (PEC) bagi memastikan kerajaan dapat dibentuk dengan stabil.
“Kalau tidak ada satu parti yang secara sendiri boleh menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah, mungkin kita akan ada rundingan selepas keputusan rasmi diumumkan.
“Itu akan kita tentukan kemudian, tetapi bukan dengan PH,” katanya kepada pemberita selepas ceramah isu-isu semasa di sini malam tadi.
Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, rundingan itu terbuka kepada parti-parti tempatan Sabah seperti Parti Warisan (Warisan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan mana-mana parti negeri lain yang berpotensi membentuk gabungan stabil selepas PRN.
Katanya, ia selari dengan kenyataan yang telah dibuat oleh kepimpinan PN sebelum ini.
Utusan Malaysia 13 November lalu melaporkan, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, sukar untuk mana-mana parti menang secara tunggal dan membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November ini.
Kerana itu, kata beliau, Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti di Sabah sekali gus membentuk kerajaan campuran. –UTUSAN









