PM arah laporan menyeluruh tangani gaji rendah wartawan Sabah

PM arah laporan menyeluruh tangani gaji rendah wartawan Sabah

ANWAR Ibrahim bertemu dengan petugas media dari Utusan Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada Sesi Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah Bersama Perdana Menteri di Kota Kinabalu, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengarahkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyediakan laporan menyeluruh mengenai keadaan gaji wartawan, khususnya di Sabah.

Ia susulan kebimbangan mengenai gaji yang masih rendah walaupun pengamal media telah berkhidmat bertahun-tahun.

Anwar berkata, beliau terkejut keadaan sedemikian masih berlaku, sedangkan ia tidak sepatutnya terjadi memandangkan kos sara hidup meningkat serta sebahagian syarikat media meraih keuntungan.

“Media sekarang tidak seperti dahulu kerana persaingan dengan media sosial sangat tinggi. Tetapi saya fikir, jika seseorang telah bekerja 10 tahun, wajar mendapat gaji yang lebih adil. Saya simpati dan akan berusaha untuk meyakinkan pihak media supaya memberikan imbuhan yang lebih saksama.

“Beberapa syarikat media berdaftar memperoleh keuntungan yang cukup besar, jadi tiada alasan untuk gaji wartawan tetap rendah. Saya terkejut apabila mendapat tahu, ada pengamal media berkhidmat 10 tahun, namun gaji hanya sekitar RM2,000. Itu memang tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama Perdana Menteri pagi ini.

Oleh itu, beliau meminta Fahmi agar menyediakan laporan menyeluruh mengenai keadaan gaji wartawan.

Beliau menekankan laporan itu perlu memberi gambaran jelas tentang cabaran yang dihadapi wartawan, termasuk perbezaan gaji antara syarikat media serta faktor kos sara hidup di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN