TEMERLOH: Persatuan Guaman Syarie Malaysia Pahang (PGSMP) berjaya melaksanakan program Klinik Guaman Percuma selama tiga hari bermula Jumaat lalu sempena Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 peringkat kebangsaan di Lurah Semantan di sini dengan kerjasama Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Malaysia (YBGK).
Perasmian klinik guaman tersebut disempurnakan oleh Pengarah YBGK, Aida Adhha Abu Bakar bersama Pengerusi PGSMP, Dr. Hasiah Mat Salleh.
Timbalan Pengerusi PGSMP, Abdullah Hakim Ahmad berkata, program ini bertujuan memberikan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada masyarakat setempat khususnya dalam isu-isu berkaitan undang-undang syarie, kekeluargaan, hak penjagaan anak dan harta pusaka.
“Sepanjang tiga hari pelaksanaan, sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan membuktikan keperluan berterusan terhadap akses guaman yang mudah dan mesra rakyat.
“Kami di PGSMP berbesar hati dapat bersama-sama menyumbang kepada usaha memperkasakan kesedaran undang-undang dalam kalangan masyarakat.
“Kerjasama strategik bersama YBGK telah membolehkan lebih ramai individu mendapatkan bantuan guaman yang berkualiti tanpa sebarang bayaran,” katanya di sini hari ini.
Abdullah berkata, PGSMP komited untuk terus mendekati masyarakat dan memastikan keadilan dapat dicapai oleh semua lapisan rakyat, tanpa mengira latar belakang.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, termasuk para peguam sukarelawan, petugas teknikal dan warga Pahang yang hadir memberikan sokongan. Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif guaman berorientasikan komuniti pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










