SHAH ALAM: Perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, perwakilan menyerahkan kepada kepemimpinan MIC termasuk Presiden, Tan Sri S. A. Vigneswaran untuk memutuskan sama ada parti akan berbuat demikian dan membentuk jajaran baharu bersama Perikatan Nasional (PN) pada masa yang sesuai.
Resolusi itu dicapai menerusi usul ketiga dikemukakan kepada perhimpunan yang menyatakan perbincangan yang mendalam dan teliti dalam kalangan ahli akar umbi, pimpinan peringkat bahagian, cawangan serta kepemimpinan MIC negeri dan Pusat, pemegang jawatan serta perwakilan dari seluruh negara.
“Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-79 ini dengan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama sedia ada tidak lagi memberikan ruang yang mencukupi untuk MIC memainkan peranan yang efektif bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan nasional di tanah air.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju MIC bersedia menamatkan penyertaannya dalam gabungan BN, tertakluk kepada proses dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Parti MIC serta untuk memohon secara rasmi menyertai koalisi PN,” kata usul tersebut.
Seramai 1,808 perwakilan hadir pada Perhimpunan Agung MIC. Turut hadir adalah wakil parti yang menyokong BN, namun tiada wakil rasmi daripada gabungan itu hadir.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan jangkaan MIC keluar daripada BN dan menerima pelawaan menyertai PN dilihat lebih besar berbanding MCA.
Sumber berkata, perbincangan antara MIC dan PN dilihat lebih positif berbanding satu lagi parti komponen BN itu. – UTUSAN










