Perjanjian puaskan hati Amerika, boleh jejas kedaulatan negara – Rafizi

Perjanjian puaskan hati Amerika, boleh jejas kedaulatan negara – Rafizi

Tarif
MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa terlalu berusaha menyenangkan hati Amerika Syarikat (AS) menerusi perjanjian tarif timbal balik yang baru dimeterai sehingga boleh menjejaskan kedudukan serta kedaulatan negara sendiri.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, walaupun semua perjanjian perdagangan mempunyai klausa penamatan, ia tidak memberi jaminan sebenar terhadap kebebasan sesebuah negara apabila berdepan tekanan kuasa besar seperti AS.

Katanya, dalam realiti hubungan diplomatik, tiada negara yang berani menarik diri kerana tindakan itu boleh menjejaskan hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala secara serius.

“Ya, memang boleh keluar bila-bila, tetapi bila sampai tahap itu, maknanya hubungan kita dengan Amerika sudah sampai keretakan. Dalam situasi sebenar, negara akan terpaksa menelan sahaja apa yang ditetapkan.

“Struktur perjanjian yang ditandatangani Malaysia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan negara ASEAN lain, namun komitmen yang diberikan Malaysia dilihat jauh lebih berat dari segi pematuhan dan kewangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Rafizi, beliau mengambil masa meneliti sendiri butiran perjanjian berkenaan sebelum membuat penilaian, dan mendapati beberapa syarat yang diterima Malaysia terlalu berat berbanding negara lain.

“Jika negara Kemboja sendiri boleh berunding dan dapat klausa lebih baik, kenapa kita tidak? Dalam perjanjian mereka ada menyebut jelas tiada perkara boleh bercanggah dengan kedaulatan negara, namun kita tiada klausa seperti itu,” tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum ini dilaporkan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik AS–Malaysia yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Perjanjian itu bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang menyuarakan kebimbangan terhadap komitmen besar yang perlu ditanggung Malaysia di bawah perjanjian berkenaan

Tambah Rafizi, perjanjian tersebut menyebabkan Malaysia seolah-olah memberi ‘cek kosong’ kepada AS untuk menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan negara ini dalam hal pelaburan serta keselamatan.

“Sebagai contoh, terdapat klausa yang menyatakan kerajaan Malaysia perlu menyemak pelaburan bersama AS bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan kepentingan ekonomi dan keselamatan AS.

“Adakah ini bermaksud selepas ini pelaburan asing di Malaysia perlu ikut citarasa mereka? Kalau syarikat China seperti Huawei ditolak, apa pilihan kita?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN