KLANG: Penduduk di 23 buah rumah dekat Taman Lipat Kajang membantah pembinaan pusat penyimpanan abu mayat atau kolumbarium yang terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan mereka di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah di sini.
Penasihat gerakan gabungan penduduk, Datuk Seri Muhammad Adam Prakash Ardae berkata, pembinaan kolumbarium tersebut didakwa bakal menjadi tempat penyimpanan 25,000 abu mayat dan akan menimbulkan kesesakan dan gangguan ketenteraman penduduk di sana.
Menurutnya, keadaan akan menjadi lebih teruk pada hari upacara sembahyang apabila pusat penyimpanan yang terletak bersebelahan tanah perkuburan itu dijangka menjadi tumpuan sekurang-kurangnya 5,000 ahli keluarga si mati.
“Kehadiran ahli keluarga semasa upacara peringatan akan menyebabkan kesesakan yang teruk di kawasan perumahan kami dan di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah.
“Kami bimbang projek berkenaan akan menjejaskan kemudahan tempat letak kereta penduduk khususnya semasa musim ‘Qing Ming’ dan upacara penyimpanan abu mayat. Ramai pengunjung luar akan meletakkan kereta secara tidak terkawal di kawasan perumahan kami,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Terdahulu beliau hadir bersama kira-kira 20 penduduk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pembinaan kolumbarium.
Selain itu, beliau mendakwa, ketika ini pun terdapat aktiviti pembakaran dalam upacara sembahyang yang dilakukan oleh masyarakat luar di sana turut menyebabkan debu atau sampah dan abu pembakaran masuk ke dalam rumah penduduk yang sudah lebih 20 tahun tinggal di kawasan itu.
Muhammad Adam Prakash berkata, masalah tersebut sudah berlarutan lebih 10 tahun dan banyak bantahan dinyatakan dalam tiga kali pertemuan dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama pemaju serta pemilik tanah sejak 2014.
Menurutnya, pembinaan kolumbarium itu juga tidak mematuhi syarat ditetapkan kerana ia hendak dibina di kawasan paling dekat dengan rumah penduduk, masjid dan tanah perkuburan Islam.
“Sepatutnya MBDK tak perlu ambil masa yang lama, terus batalkan projek tersebut kerana ia memberi kesan kepada emosi penduduk selain mengganggu trafik di kawasan perumahan berkenaan.
“Malah ia juga dijangka akan memberi kesan kesesakan lebih teruk di stesen Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) Taman Selatan yang akan dibuka tidak lama lagi serta gangguan kepada aliran trafik ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” jelasnya.
Sementara itu, penduduk M. Moses Jayaseelan berkata, pembinaan kolumbarium itu juga akan menyebabkan gangguan bunyi dan pencemaran udara.
“Malah, kekerapan serta intensiti upacara sembahyang abu mayat boleh menimbulkan gangguan emosi dan ketidakselesaan kepada penduduk.
“Pembinaan pusat itu dilihat sebagai pencerobohan terhadap hak asasi dan kebebasan penduduk serta menjejaskan keharmonian masyarakat di taman kami,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz ketika dihubungi memaklumkan kertas kerja dan kebenaran merancang (KM) berkaitan projek kolumbarium itu masih belum diterima. – UTUSAN










