ARAU: Pemuda UMNO Bahagian Arau membantu mangsa banjir tidak berpindah dengan mengagihkan sumbangan makanan dari rumah ke rumah di sekitar Pauh dan kawasan-kawasan di sini yang terjejas.
Pengagihan bantuan tersebut diketuai Penyelaras Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Mohd. Aizat Abdul Rahman bersama ahli jawatankuasa sayap pemuda bahagian itu yang meredah banjir bagi menyampaikan bantuan makanan tersebut.
Sebanyak 300 pek makanan diagihkan yang turut disumbangkan UMNO Bahagian Arau dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh.
Mohd. Aizat berkata, agihan makanan itu diberikan kepada penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, Pemuda UMNO Arau sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi membantu mangsa yang terlibat.
“Kita mula mengagihkan bantuan tersebut sejak pukul tiga sehingga 7 petang. Ia membabitkan kampung-kampung sekitar DUN Pauh ini,” katanya.-UTUSAN










