Pemasyhuran UniSIRAJ lonjakan paradigma ke arah visi besar

Pemasyhuran UniSIRAJ lonjakan paradigma ke arah visi lebih besar

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan meninjau ruang pameran pada Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ di Dewan 2020, Kangar, Perlis kelmarin.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemasyhuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bukan sekadar perubahan nama semata-mata, sebaliknya merupakan lonjakan paradigma yang membawa visi lebih besar.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle ber­kata, penjenamaan semula institusi tersebut adalah hasil pengiktirafan dan kepercayaan diberikan oleh kerajaan bersama Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang me­lihat potensi besar bagi universiti berkenaan untuk bersaing di persada antarabangsa.

Beliau berkata, pemilihan nama UniSIRAJ juga adalah bagi membawa harapan agar universiti itu dapat menjadi pusat ilmu yang mengintegrasikan ajaran Islam dengan ilmu moden disamping melahirkan graduan kompeten dalam bidang masing-masing.

“Nama institusi yang diil­hamkan daripada Tuanku Raja Perlis itu merupakan satu pengiktirafan tinggi dalam memikul tanggungjawab besar bagi memastikan universiti ini sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai Diraja, keilmuan dan Islam.

“Justeru, setiap langkah yang diambil oleh UniSIRAJ akan sentiasa berlandaskan prinsip-prinsip syariah dan falsafah pendidikan Islam yang selari dengan aspirasi Raja Perlis dan kerajaan negeri,” katanya ketika me­nyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ di Dewan 2020, di sini kelmarin.

Sementara itu, Muhamad Rozaimi berkata, pengurusan UniSIRAJ juga beriltizam untuk mengintegrasikan ilmu wahyu dan aqliah dengan menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam setiap disiplin ilmu ditawarkan agar graduan mampu berfikir secara kritis, kreatif serta islami.

“Institusi ini juga fokus untuk melahirkan Ulul Albab yang cemerlang dengan penumpuan kepada pembangunan modal insan yang memiliki sahsiah terpuji, berilmu luas dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta ummah secara menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, UniSIRAJ juga akan memperkasakan bidang penyelidikan yang inovatif dengan berteraskan nilai Islam bagi menghasilkan inovasi dan penemuan baharu bermanfaat untuk kesejahteraan insan serta alam.

“Dalam masa sama, jaringan antarabangsa juga perlu dibina menerusi kerjasama erat dengan institusi-institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia bagi memperluaskan ruang lingkup akademik dan mengukuhkan kedudukan UniSIRAJ di peringkat global,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN