PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh kerjasama strategik dan risikan antarabangsa bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan termasuk kerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu selari dengan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh usaha membanteras kegiatan penyeludupan masuk dan keluar dadah dari negara ini didalangi kartel besar.
Katanya, usaha itu sudah sekian lama menjadi fokus utama PDRM dalam membanteras sindiket dadah rentas sempadan demi keselamatan serta kesejahteraan negara.
“PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menjalankan pemantauan berterusan terhadap jaringan pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan laluan laut dan kontena kargo sebagai modus operandi.
“Antara kes yang mendapat perhatian antarabangsa ialah rampasan 336 kilogram heroin oleh Pasukan Sempadan Australia (ABF) di Australia pada 13 Mac 2023.
“Hasil siasatan bersama mendapati kontena berkenaan dipercayai transit melalui Pelabuhan Klang sebelum ke destinasi akhir di Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Khalid, kejadian itu menjadi asas pengukuhan usaha meningkatkan kawalan serta risikan bersama di peringkat serantau.
Katanya, PDRM melalui JSJN menjalankan siasatan bersama AFP dan hasil beberapa siri perbincangan kedua dua agensi bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas bersama yang dipersetujui semasa Persidangan Agung Polis Antarbangsa (Interpol) di Glasgow, Scotland pada 6 November 2024.
“Pasukan ini memberi tumpuan kepada sindiket dadah transnasional yang beroperasi antara Malaysia dan Australia, khususnya yang menggunakan perkhidmatan kontena kargo.
“Kerjasama PDRM dan AFP di bawah pasukan petugas bersama itu membawa kepada beberapa operasi besar, termasuk rampasan 33.2 tan syabu bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Klang pada 25 Januari 2025 yang dipercayai berasal dari Asia Tengah sebelum transit di Malaysia untuk ke Australia,” katanya.
Tambah Mohd. Khalid, operasi seterusnya pada 7 November lalu menghasilkan rampasan 45 kilogram syabu bernilai RM1.44 juta yang disembunyikan dalam ruang khas di bahagian atas kontena kargo yang dipercayai dari Asia Tengah sebelum transit di Pelabuhan Klang untuk ke destinasi akhir di Australia.
“Hasil kerjasama strategik itu membuktikan keupayaan dan komitmen tinggi PDRM dalam memperkukuh perkongsian risikan antarabangsa bagi membanteras penyeludupan dadah berskala besar.
“Melalui pendekatan ini, PDRM meneliti setiap rangkaian yang dikenal pasti dan sedang memperkukuh tindakan susulan secara berperingkat bersama agensi penguat kuasa dalam serta luar negara bagi memastikan keseluruhan sindiket ini dapat dipatahkan sepenuhnya.
“Seiring pendirian tegas Perdana Menteri, PDRM menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana mana pihak yang melanggar undang undang, dan mengancam keselamatan negara serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan, PDRM akan terus memperhebat risikan, operasi dan kerjasama antara agensi di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Ini bagi memastikan setiap bentuk ancaman dadah dapat dikekang secara berterusan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar yang menyeludup dadah ke negara ini yang beliau dengar sejak 20 tahun lalu dan sehingga kini tidak ada tindakan. – UTUSAN










